BEIJING, 23 JUN – Penduduk Beijing berusaha berlindung dan menyejukkan diri di terusan hari ini, apabila pihak berkuasa mengeluarkan amaran panas tahap kedua tertinggi bagi bandar China dan antara suhu yang tertinggi bagi tahun ini.
China telah mengalami musim panas ekstrem sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan gelombang haba melanda kawasan utara sementara bahagian selatan pula berdepan hujan lebat dan banjir dahsyat.
Pihak berkuasa di bandar yang dihuni 22 juta orang itu menggesa orang ramai agar mengambil langkah berjaga-jaga, dengan suhu dijangka mencecah sekitar 38 darjah Celsius hari ini.
Amaran panas jingga tahap kedua tertinggi dalam sistem tiga peringkat telah dikeluarkan hari ini dan pihak berkuasa menggalakkan orang ramai untuk mengehadkan aktiviti luar dan minum lebih banyak air bagi mengelakkan strok haba.
Pekerja binaan disarankan untuk ‘mengurangkan tempoh kerja berterusan, manakala warga emas, individu sakit atau lemah dinasihatkan agar ‘tidak melakukan aktiviti fizikal berlebihan’. Beijing masih belum memecah rekod hari paling panas bagi bulan Jun, yang dicatatkan pada suhu 41.1°C pada tahun 2023.
Pelepasan gas rumah hijau oleh manusia sedang memacu perubahan iklim yang menyebabkan gelombang haba menjadi lebih panjang, kerap dan ekstrem.
China merupakan pengeluar karbon dioksida terbesar di dunia, iaitu gas rumah hijau yang utama, namun negara itu telah berikrar untuk mencapai puncak pelepasan gas tersebut menjelang akhir dekad ini dan mencapai sifar bersih menjelang 2060.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, China juga muncul sebagai peneraju tenaga boleh diperbaharui global, sejajar dengan usaha mengurangkan pergantungan terhadap arang batu yang sangat mencemarkan. – AFP


