BEIJING, 3 JULAI – Beijing telah berjaya mengekang penularan jangkitan baharu koronavirus dan kini melonggarkan lebih banyak sekatan seperti membenarkan penduduk untuk keluar pada waktu malam, pihak berkuasa bandar itu berkata hari ini, beberapa minggu selepas gelombang jangkitan baharu berlaku di ibu negara itu.
Semua orang yang tinggal di kawasan kota yang dianggap ‘berisiko rendah’ boleh meninggalkan Beijing tanpa hasil ujian virus negatif mulai Sabtu, kata jurucakap biro keselamatan awam perbandaran pada sidang media.
Kempen uji dan jejak di bandar ini secara efektif berjaya mengekang penularan virus dengan kurang dari tiga kes dikesan setiap hari dalam beberapa hari terakhir, kata jurucakap Pan Xuhong.
“Faktor risiko telah dikurangkan,” katanya, menambah bahawa tidak ada tanda-tanda penyebaran virus yang lebih luas dalam kalangan masyarakat, dengan kebanyakan kes dikesan melalui pemantauan terhadap masyarakat yang berisiko tinggi dalam jangkitan tersebut.
Pengumuman itu dibuat setelah Beijing menghentikan beberapa sekatan yang dikenakan sebelumnya, selepas beratus-ratus kes baharu yang berkaitan dengan pasar borong pada Jun lalu dikesan, yang menimbulkan kebimbangan terhadap penularan semula jangkitan wabak tersebut.
Ibu negara itu melakukan ujian pengambilan sampel lebih dari 10 juta orang antara 11 Jun dan 3 Julai, hampir separuh penduduk kota, kata pegawai Beijing Zhang Qiang hari ini.
Tetapi ujian asid nukleik tidak sepenuhnya boleh dipercayai, dengan banyak kes yang disahkan di bandar ini kembali negatif selepas positif dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Pada hari Khamis, seorang wanita dibawa ke hospital dari sebuah pusat membeli-belah di daerah Shijingshan Beijing dan 204 orang kontak telah dikuarantin setelah ujian virus keempat wanita itu dalam tiga minggu kembali positif – walaupun ujiannya negatif pada hari sebelumnya, kata pegawai bandar hari ini. – AFP
