Sunday, February 23, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Beijing membahang, catat suhu panas 39 Celsius

    BEIJING, 16 JUN – Suhu di Beijing mencecah rekod pada pertengahan Jun iaitu 39.4 darjah Celsius (103 Fahrenheit) hari ini, kata pihak berkuasa kaji cuaca China, sambil memberi amaran kepada orang ramai untuk kekal di dalam rumah.

    “Sekitar jam 2:30 petang pada 16 Jun, suhu di balai cerap Nanjiao di Beijing mencecah 39.4 darjah Celsius, memecahkan rekod tertinggi pada pertengahan Jun,” menurut Pentadbiran Meteorologi China (CMA) dalam media sosial.

    CMA berkata beberapa hari akan datang menyaksikan suhu melebihi 37 darjah Celsius di Beijing, sambil menambah ‘orang ramai perlu mengurangkan tempoh aktiviti luar dan berhati-hati terhadap strok haba’.

    Beijing berada di bawah amaran jingga untuk suhu tinggi – tahap amaran kedua tertinggi. Lapan ibu kota wilayah di seluruh negara itu merekodkan suhu tertinggi tahun ini kelmarin, menurut agensi berita rasmi Xinhua.

    Para saintis berkata pemanasan global memburukkan lagi kesannya, dengan banyak negara mengalami gelombang haba dan suhu tinggi mencecah rekod di seluruh Asia dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

    Kanak-kanak bermain air pancut di Beijing pada 16 Jun. Media China melaporkan suhu bulan ini di bandar China mencecah paras rekod kira-kira 39.4 darjah Celsius. – AP

    Beberapa lokasi di wilayah Hebei berada di bawah amaran merah – tertinggi – untuk suhu melebihi 40 darjah hari ini.

    Di ibu negara, suhu permukaan jalan melebihi 50 darjah Celsius (122 Fahrenheit), “yang boleh menyebabkan kerosakan jalan raya, tayar kenderaan pecah, pembakaran spontan dan kemalangan jalan raya lain”, kata pakar meteorologi bandar Lei Lei kepada Xinhua.

    Suhu rekod Beijing sebelum ini bagi pertengahan Jun ialah 39.1 darjah pada 13 Jun 2000, menurut CMA.

    Akhbar Beijing Daily yang dikendalikan oleh Parti Komunis menasihatkan pembaca hari ini supaya kekal terhidrat, mencadangkan minuman manis tradisional sup kacang hijau atau minuman yang mengandungi elektrolit.

    “Kakitangan yang bekerja dalam persekitaran suhu tinggi perlu memendekkan tempoh kerja berterusan mereka,” tambah akhbar itu.

    Kawasan seluas lebih dua juta kilometer persegi di seluruh China telah dilanda suhu melebihi 35 darjah Celsius minggu ini, kata Xinhua. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda