BEIJING, 3 JAN – China hari ini menyatakan ia akan mengambil ‘semua langkah yang perlu’ sebagai tindak balas terhadap pengumuman Amerika Syarikat (AS) yang sedang mempertimbangkan sekatan ke atas dron komersial China atas sebab-sebab keselamatan negara.
Kelmarin, Jabatan Perdagangan AS mengumumkan bahawa ia sedang mempertimbangkan peraturan baharu untuk mengatasi risiko yang ditimbulkan oleh dron yang dibuat dengan teknologi daripada musuh asing seperti China dan Rusia.
Langkah tersebut mungkin membawa kepada pelaksanaan peraturan atau larangan terhadap dron China, yang mendominasi pasaran global.
Menjawab pertanyaan mengenai potensi sekatan tersebut hari ini, jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning, menuduh AS ‘membuat generalisasi konsep keselamatan negara, campur tangan dan menyekat pertukaran ekonomi dan perdagangan yang normal, serta menjejas keselamatan dan kestabilan rantaian pengeluaran dan bekalan global’.
“Kami akan mengambil semua langkah yang perlu untuk mempertahankan hak dan kepentingan kami dengan tegas,” tambahnya.
Jabatan Perdagangan AS kini sedang meminta maklum balas orang awam mengenai peraturan baharu yang mungkin dilaksanakan sehingga 4 Mac, yang bermakna keputusan tersebut akan dibuat oleh pentadbiran Presiden terpilih Donald Trump.
Jabatan itu menyatakan teknologi yang direka oleh China mungkin memberinya keupayaan untuk ‘mengakses dan mengawal’ dron tersebut dari jauh, yang boleh ‘menimbulkan risiko yang tidak wajar atau tidak boleh diterima terhadap keselamatan negara AS’.
Pada Oktober tahun lalu, pengeluar dron China DJI, pengeluar dron terbesar dunia, berkata mereka sedang menyaman Jabatan Pertahanan AS selepas Washington menggelarnya sebagai ‘Syarikat Tentera China’ pada 2022.
“DJI bukan milik atau dikawal oleh tentera China…ia adalah syarikat swasta dan tidak seharusnya diklasifikasikan sebagai syarikat tentera,” kata firma itu pada masa itu.
DJI telah menarik perhatian Washington dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk dakwaan peranannya dalam memantau penduduk minoriti etnik di China. – AFP