Wednesday, April 17, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Beijing tutup semua sekolah

    BEIJING, 29 APRIL – Beijing menutup kesemua sekolah di bandar itu bagi mengetatkan lagi sekatan COVID, ketika ibu negara China itu berusaha mengekang penularan meluas.

    Bandar yang mempunyai 21 juta penduduk itu sudah mengarahkan ujian besar-besaran pusingan ketiga pada minggu ini, dengan yang ketiga akan dibuat pada Jumaat akan datang.

    Kelmarin, Biro Pendidikan bandar itu mengarahkan kesemua sekolah menamatkan pembelajaran bermula hari ini dan berkata ia masih belum memutuskan bila sekolah akan disambung semula.

    Ia juga masih belum jelas sama ada sekolah akan menawarkan pembelajaran secara dalam talian atau membenarkan pelajar untuk menjalani peperiksaan besar di dalam kelas.

    Beijing mengumumkan 50 kes jangkitan baharu kelmarin, dengan dua daripadanya tidak menunjukkan sebarang gejala, menjadikan jumlah keseluruhan terbaharu gelombang jangkitan kepada sekitar 150 kes.

    Penduduk melintasi sebuah sekolah rendah yang ditutup di Beijing pada 28 April. Beijing telah mengarahkan penutupan kesemua sekolah di bandar itu bagi mengawal penularan COVID. – AP

    Lebih 30 peratus daripada jumlah kes terdiri daripada golongan pelajar, dengan kluster dikaitkan dengan enam sekolah dan dua tadika di Chaoyang.

    Kelmarin, penduduk di dua buah kawasan perumahan di daerah Chaoyang, Beijing diarah untuk kekal berada di rumah dan beberapa buah klinik dan perniagaan ditutup.

    Beijing kini bertindak lebih pantas berbanding bandar-bandar yang lain untuk mengenakan sekatan ketika jumlah kes masih rendah dan skala penularan masih boleh diurus.

    Matlamatnya adalah untuk mengelak langkah besar-besaran yang dikenakan ke atas Shanghai, di mana varian Omicron yang mudah merebak menjangkiti 25 juta penduduk di bandar itu.

    Sekatan telah mengurung kebanyakan penduduk Shanghai di rumah mereka yang kini berada dalam minggu keempat dan kesemua pembelajaran dilakukan secara dalam talian sejak bulan lalu.– AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Iran tutup sementara kemudahan nuklear

    TEHRAN, 16 APRIL – Iran menutup sementara kemudahan nuklearnya atas ‘pertimbangan keselamatan’ susulan serangan peluru berpandu dan dron besar-besarannya ke atas Israel pada hujung...