Sunday, May 11, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bekal senjata, dipenjara 44 tahun

    SYDNEY, 1 Mac – Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara 44 tahun hari ini selepas didapati bersalah membekalkan senjata api kepada seorang remaja untuk melakukan pembunuhan ke atas seorang anggota polis Australia.

    Raban Alou mengaku bersalah memiliki dan menyerahkan senjata api kepada seorang remaja berusia 15 tahun, Farhad Mohammad di sebuah masjid di Sydney pada 2015.

    Remaja berkenaan kemudiannya menggunakan senjata terbabit untuk menembak Curtis Cheng di bahagian belakang kepalanya di luar ibu pejabat polis New South Wales.

    Cheng meninggal dunia di tapak kejadian.

    Farhad yang pada masa itu yang dikatakan lahir di Iran dan berketurunan Kurdis h-Iraq terbunuh selepas berbalas tembakan dengan polis tidak lama sejurus pembunuhan itu.

    Alou, 20, dijatuhkan hukuman penjara maksimum selama 44 tahun oleh Mahkamah Agung New South Wales dan tidak dibenarkan menjalani parol selama 33 tahun selepas mengaku bersalah membantu, bersubahat dan memberi kaunseling kepada pengganas.

    Badan Penyiaran Australia berkata Alou melaungkan kata-kata semangat menyokong kumpulan militan Islamic State (IS) ketika dia dibawa pergi.

    Hakim Peter Johnson ketika menjatuhkan hukuman berkata lelaki itu tidak menunjukkan sebarang tanda penyesalan atau bersalah atas perbuatannya.

    “Respons pesalah itu tidak mempunyai dasar kemanusiaan,” katanya kepada saluran berita ABC.

    “Pesalah adalah seorang perancang yang sangat aktif dan terlibat dalam kesalahan itu.

    “Sekiranya pesalah tidak mendapatkan senjata api dan membekalkannya kepada Farhad, jenayah ini tidak akan berlaku.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda