Monday, July 1, 2024
23 C
Brunei

    -

    Bekalan air Gaza akan dipulihkan

    BAITULMAQDIS, 28 JUN – Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) kelmarin berkata bahawa Israel telah bersetuju untuk memulihkan kuasa kepada loji penyahgaraman utama di selatan Gaza sekali gus membekalkan air yang sangat diperlukan kepada sejuta orang yang kehilangan tempat tinggal.

    “UNICEF mengesahkan perjanjian (dengan Israel) telah dicapai untuk mewujudkan semula sumber kuasa voltan sederhana untuk Loji Penyahgaraman Gaza Selatan,” kata Jonathan Crickx, jurucakap agensi itu di wilayah Palestin.

    Sumber air menjadi terhad bagi 2.4 juta penduduk wilayah Palestin sejak perang meletus hampir sembilan bulan lalu.

    Lebih dua pertiga daripada kemudahan sanitasi dan air Gaza telah musnah atau rosak, menurut data yang dipetik oleh agensi PBB dan hanya bekalan air botol yang terhad
    sahaja dibenarkan masuk sejak Israel mengenakan sekatan yang ketat di wilayah itu.

    Loji di Khan Yunis yang akan dipulihkan sumber kuasanya itu harus menyediakan air yang mencukupi untuk ‘memenuhi apa yang ditakrifkan oleh piawaian kemanusiaan sebagai pengambilan minimum 15 liter sehari air minuman bagi setiap orang, untuk hampir sejuta orang yang berpindah’ di selatan Gaza, kata Crickx.

    “Ini adalah peristiwa yang penting, dan kami benar-benar berharap untuk melihatnya dilaksanakan,” tambahnya.

    Penyelaras Israel bagi hal ehwal awam di wilayah Palestin, dikenali sebagai COGAT, tidak segera menjawab permintaan AFP untuk memberikan komen.

    Loji itu seharusnya mampu menghasilkan 15,000 meter padu atau 15 juta liter air setiap hari pada kapasiti penuh, menurut UNICEF.

    Crickx berkata adalah penting untuk melihat ‘penjana kuasa dan infrastruktur dihantar’ untuk mengatasi kerosakan di wilayah yang dilanda perang sambil menambah lebih 60 peratus sistem pengagihan airnya telah rosak sejak Oktober. – AFP

    Penduduk Palestin berkumpul untuk mendapatkan bekalan air bersih daripada beberapa loji penyahgaraman yang berfungsi di Deir al-Balah, Gaza pada 20 Jun. Israel berjanji akan pulihkan bekalan kuasa untuk loji penyahgaraman. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Xi akan lawat Kazakhstan, Tajikistan 2 Julai

    BEIJING, 30 JUN - Presiden China, Xi Jinping akan menghadiri mesyuarat pemimpin dan mengadakan lawatan negara ke Kazakhstan dan Tajikistan mulai Selasa ini, kementerian...