KOTA KINABALU, 26 MEI – Peniaga ayam di Sabah khususnya di Pasar Besar Kota Kinabalu tidak berdepan masalah terputus bekalan ayam tetapi bekalan diterima daripada pembekal adalah terhad pada masa ini.
Tinjauan Bernama di pasar besar itu mendapati peniaga masih mendapat bekalan ayam walaupun jumlah bekalan diterima berkurangan berbanding sebelum ini manakala harga ayam seperti ayam bulat masih dijual pada harga sekitar RM11 hingga RM11.50 sekilogram.
Salah seorang peniaga ayam dari Penampang berkata kebiasaannya beliau menempah 300 ekor ayam daripada pembekal setiap hari, tetapi sekarang beliau hanya menerima
kira-kira 100 hingga 150 ekor ayam sahaja.
“Buat masa sekarang, kita tidak boleh kata bekalan mencukupi atau kurang, sederhana.
Ini kerana bila membuat tempahan, bekalan ayam ada tetapi kebanyakan peniaga memperolehs separuh sahaja daripada kuantiti yang sudah ditempah.
Beliau juga mengatakan operasi kedai yang kebiasaannya sehingga 4 petang, kini terpaksa ditutup lebih awal pada pukul 9 atau 10 pagi berikutan bekalan ayam habis dijual kepada pengguna.
Seorang lagi peniaga Yusof Kadil, 48, dari Likas berkata bekalan ayam masih ada dan tidak terputus, selain harga ayam terutama ayam bulat juga masih sama.
“Bekalan ayam bukan tiada tetapi kurang dalam 30 peratus. Contohnya kami minta kepada pembekal sebanyak 100 ekor ayam, tetapi kami dapat 60 atau 70 ekor ayam sahaja.” – Bernama
