Monday, September 16, 2024
33.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bekalan elektrik kembali pulih di seluruh Venezuela

    CARACAS, 1 SEPT – Bekalan elektrik di seluruh Venezuela kembali pulih pada pagi Sabtu, selepas gangguan besar selama 12 jam yang menyebabkan seluruh negara itu diselubungi ke dalam kegelapan.

    Kerajaan Venezuela menuduh tindakan sabotaj oleh pihak pembangkang yang memprotes adanya penipuan dalam pilihan raya yang dipertikaikan sebulan lalu, yang menyaksikan Presiden Nicolas Maduro kekal berkuasa.

    Masalah kali ini bermula pada awal pagi Jumaat di loji hidroelektrik Simon Bolivar, yang merupakan sumber utama kuasa di Venezuela.

    Maduro menyifatkan kejadian itu sebagai ‘serangan ekstrem’ terhadap kemudahan tersebut. Dia menuduh ‘fasis’ iaitu gelaran yang diberikan kepada pembangkang dan Amerika Syarikat sebagai dalang di sebalik gangguan itu, namun tidak memberikan sebarang bukti.

    Gangguan elektrik yang berpanjangan itu mengingatkan semula rakyat Venezuela kepada gangguan besar yang berlaku pada 2019, yang berlarutan selama beberapa hari.

    Bekalan elektrik mula pulih ke beberapa negeri sekitar jam 4 petang pada Jumaat dan hampir sepenuhnya pulih di seluruh negara menjelang pagi Sabtu, menurut media tempatan dan pengguna yang dihubungi oleh AFP.

    Perkhidmatan Metro di Caracas kembali beroperasi seperti biasa, menurut pihak berkuasa pengangkutan.

    Sambungan Internet mencapai sekitar 93 peratus pada Sabtu, menurut NGO VE Sin Filtro, yang memantau tahap sambungan Internet di Venezuela.

    Jose Aquilar, seorang pakar risiko dalam sektor utiliti elektrik, berkata gangguan itu berkemungkinan berpunca daripada kerosakan dalam grid elektrik negara yang sudah usang dan bukan sabotaj. – AFP

    Sambungan elektrik tidak teratur di kawasan Petare di Caracas pada 31 Ogos. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda