Bekalan elektrik terputus bantut pemulihan industri Aleppo

ALEPPO, SYRIA – Pada kebiasaannya bengkel-bengkel di Aleppo, Syria sering beroperasi hingga larut malam sebelum tercetusnya peperangan, tetapi ketika ini mesin berhenti pada pukul 6:00 petang kerana bekalan elektrik terputus.

Pertempuran telah berakhir hampir lima tahun yang lalu di bekas pusat ekonomi negara itu, tetapi bekalan elektrik yang terhad telah menghambat pengembalian pekerjaan sepenuhnya di kawasan perkilangannya yang menghasilkan segala-galanya daripada plastik kepada makanan.

Di daerah Karm al-Qatarji yang terkenal dengan tekstil, Mahmud Majkini, 31, mengatakan perniagaannya yang menenun kain kasa perubatan masih terkesan daripada konflik yang berusia beberapa dekad.

“Saya tidak boleh mengatakan peperangan telah benar-benar berakhir kerana mesin saya masih belum kembali berfungsi sepanjang masa,” katanya.

Konflik tersebut telah memusnahkan rangkaian elektrik serta infrastruktur minyak dan gas di seluruh negara.

Gambar bertarikh 25 November 2019 menunjukkan bangunan yang rosak akibat peperangan di zon perindustrian al-Qatarji di Aleppo, Syria. – Xinhua
Kelihatan kanak-kanak melakukan pekerjaan di sebuah bengkel di Aleppo. – AFP
Seorang lelaki Syria kelihatan berada di sebuah bengkel yang sebahagiannya musnah. – AFP
Bengkel-bengkel di Aleppo Syria sering beroperasi hingga ke malam sebelum tercetusnya peperangan, tetapi ketika ini mesin berhenti pada pukul 6:00 petang kerana bekalan elektrik terputus. – AFP

Padang minyak terbesar Syria masih di luar jangkauan kerajaan di timur laut negeri Kurdish, dan sekatan Barat telah menjejas import bahan bakar dari luar negara.

Warga Syria di kawasan-kawasan yang ditadbir oleh kerajaan terpaksa menyesuaikan hidup mereka di rumah dan bekerja dengan bekalan elektrik terputus sehingga 20 jam sehari.

Kawasan perindustrian Aleppo mungkin mendapat kuasa yang lebih sedikit daripada kawasan perumahan, tetapi Majkini mengatakan perniagaannya masih belum cukup untuk kembali pulih sepenuhnya.

Pada masa ini, hanya separuh daripada lapan mesin tenunnya beroperasi di bengkelnya yang sempit di tingkat tiga sebuah bangunan dengan dinding yang rosak.

Dia berkata dia tidak berani memperbaiki mesin yang paling dekat dengan permukaan bangunan yang terbuka luas sekiranya dia tergelincir di pinggir dan jatuh ke bawah.

Menempah maut

“Sekiranya kita mempunyai bekalan elektrik lebih lama, kita boleh bekerja lebih dan memperbaiki dinding,” katanya.

Tetapi sebaliknya, “kita menempah maut”.

Di kawasan perindustrian di bandar utara, negara seharusnya menyediakan bekalan elektrik empat hari seminggu dari jam 6:00 pagi hingga 6:00 petang, walaupun pada teorinya bekalan itu sering terhenti oleh elektrik terputus.

Di luar waktu ini, rangkaian awam tidak beroperasi. Ahli perniagaan yang mampu membeli bahan bakar diesel untuk menghidupkan generator peribadi, tetapi ramai yang terpaksa menutup kedai.

Di kawasan perumahan, di mana bekalan elektrik terputus berlangsung lebih lama, ramai telah membeli generator peribadi.

Tentera kerajaan mengambil alih kawalan Aleppo timur dari pemberontak pada akhir 2016, setelah bertahun-tahun pengeboman di separuh bandar yang dikepung pembangkang.

Pertempuran itu telah menjejas kawasan perindustriannya, kebanyakannya terletak di timur. Rangkaian elektrik di bandar ini hampir lenyap.

Mohammed al-Saleh, ketua syarikat elektrik Aleppo di Syria, mengatakan pihak berkuasa perlahan-lahan berusaha untuk memulihkan bekalan elektrik sejak 2017.

“Tetapi ia bukan mudah,” katanya.

“Ketika kami kembali ke kawasan timur Aleppo, tidak ada stesen pemancar, tiada tiang elektrik, dan stesen jana kuasa. Kami bermula dari asas.”

Manfaatkan setiap minit

Pada bulan Februari, syarikat elektrik mengatakan ia telah memulakan pembaikan loji kuasa di wilayah itu, salah satu yang terbesar di negara dengan sokongan daripada sekutu utama kerajaan Iran.

Ia menyusuli perjanjian 2017 antara Damsyik dan Tehran mengenai ‘kerjasama dalam sektor elektrik’, termasuk memperbaiki stesen jana kuasa Aleppo dan membina stesen baharu di kubu kerajaan Latakia.

Sehingga rangkaian dipulihkan, pengeluar harus menyesuaikan diri. Di Karm al-Qatarji, Abdel Salaam Mazyek, 52, mengatakan dia merindui hari-hari yang lampau apabila kawasan itu masih hidup dengan bunyi mesin tekstil yang beroperasi tanpa henti.

“Kami biasa bekerja tanpa henti,” kata Mazyek, yang memiliki bengkel menghasilkan kain berwarna-warni.

Tetapi hari ini dia hanya bekerja empat hari seminggu, berusaha keras untuk ‘memanfaatkan bekalan elektrik setiap minit’.

Mustafa Kawwaya, wakil ketua dewan perdagangan Aleppo, mengatakan terdapat 35,000 kilang dan bengkel di seluruh bandar sebelum tercetusnya peperangan, tetapi jumlahnya berkurangan kepada kira-kira 2,500 pada kemuncak pertempuran.

Sejak kerajaan mengambil alih pemerintahan, sekitar 19,000 telah dibuka kembali untuk perniagaan, tetapi pengeluaran masih separuh berbanding sebelumnya sebelum 2011, katanya.

Berdiri di berandanya sambil meninjau bangunan yang rosak berdekatan, pengeluar tekstil Mazyek mengatakan dia berharap semuanya akan kembali normal tidak lama lagi.

“Pekerja Aleppo terkenal sebagai pekerja yang gigih bekerja,” katanya.

“Tetapi apa yang hilang sekarang adalah bekalan elektrik.” – AFP