BEIJING, 29 JUN – Berdepan ancaman kekurangan litium untuk bateri kereta elektrik, pengilang kereta sedang berlumba-lumba untuk mengukuhkan bekalan ‘emas putih’ yang sebelum ini kurang dikenali, dalam persaingan yang melibatkan isu politik dan alam sekitar dari China, Nevada hingga ke Chile.
General Motors Co. dan syarikat induk bagi BYD Auto Ltd. China terus mendapatkan sumber asal secara langsung dan membeli saham dalam perlombongan litium, langkah yang jarang berlaku dalam industri yang bergantung kepada pembekal luaran untuk tembaga dan bahan mentah lain.
Manakala, pihak lain sedang melabur dalam penapisan litium atau meneroka kerjsama untuk mengitar semula logam putih ini daripada bateri terpakai.
Kekurangan bekalan litium akan menjadi halangan bagi rancangan untuk meningkatkan jualan kepada puluhan juta kenderaan elektrik setahun.
Ia mencetuskan konflik politik berhubung sumber dan aduan mengenai kos alam sekitar dalam proses pengeluarannya.

“Kami sudah menghadapi risiko tersebut,” kata Ketua Pegawai Kewangan GM, Paul A. Jacobson dalam satu persidangan Deutsche Bank pada pertengahan Jun.
“Kami perlu menjalin kerjasama dengan pihak yang dapat menyediakan kami litium dalam bentuk yang diperlukan,” kata Jacobson.
Ford Motor Co. telah menandatangani kontrak hingga 11 tahun ke hadapan dengan pembekal litium di dua benua. Volkswagen AG dan Honda Motor Co. cuba mengurangkan keperluan mereka untuk bijih baharu dengan membentuk usaha kitar semula.
Pengeluaran litium global sedang meningkat tiga kali ganda dekad ini, tetapi jualan SUV elektrik, kereta sukan dan sedan yang meningkat 55 peratus tahun lepas mengancam untuk mengatasinya.
Setiap bateri memerlukan kira-kira lapan kilogram litium, ditambah kobalt, nikel dan logam lain. – AP