PAPAR, 28 MAC – Kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM38 juta setahun bagi menampung kos pengangkutan perkapalan untuk membawa gula putih bertapis dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata mesyuarat Kabinet baru-baru ini bersetuju dengan syor KPDN supaya meningkatkan kos pengangkutan daripada 10 sen sepaket gula kepada 20 sen, bermula bulan depan.
“Ini mencerminkan keprihatinan kerajaan Persekutuan dalam memastikan bekalan gula putih bertapis di Sabah, Sarawak dan Labuan tidak terputus.
“Saya amat berterima kasih atas keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menyokong peningkatan kos peruntukan daripada RM19 juta kepada RM38 juta,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ihya Ramadan Parlimen Papar di Dewan Datuk Salleh Sulong, di Papar, hari ini.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Armizan, yang juga Ahli Parlimen Papar berkata Kabinet turut bersetuju untuk mewujudkan stok penimbal gula sebanyak 1,000 tan metrik di Sabah, Sarawak dan Labuan bagi memastikan tidak berlaku gangguan bekalan barangan asas tersebut.
“Bagi tujuan ini, perbincangan akan diadakan bersama dua syarikat pengilang gula tempatan, iaitu MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR).
“Kerajaan Persekutuan juga meluluskan peruntukan sekali bayar sebanyak RM1 juta bagi setiap stok penimbal memandangkan syarikat pengeluar gula berdepan kerugian,” katanya. – Bernama
