Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OGOS – Bekalan makanan bagi beberapa komoditi penternakan khususnya daging dan telur ayam, daging lembu dan kerbau serta daging kambing dan biri-biri dijangka mencukupi bagi keperluan negara.
Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dalam kenyataan dikeluarkan hari ini menyatakan, secara keseluruhan pengeluaran bagi komoditi tersebut menunjukkan peningkatan positif dari bulan Januari sehingga Julai 2021 berbanding tempoh sama dalam tahun 2020.
Perkembangan positif itu adalah hasil inisiatif jabatan tersebut mempertingkatkan pengeluaran tempatan dengan kerjasama padu daripada pengusaha ladang-ladang ternakan untuk meningkatkan kapasiti sama ada melalui pembinaan reban-reban baharu, penambahan kawasan ladang dan kewujudan syarikat baharu yang bergiat dalam industri penternakan.
Keluaran industri ayam pedaging setakat Julai 2021 ialah sebanyak 18,270 tan metrik berbanding 14,608 tan metrik dalam tempoh sama tahun lalu, meningkat sebanyak 25 peratus.
Dengan perkembangan dan kemajuan dalam industri ayam pedaging ini, diharap akan dapat meningkatkan lagi pengeluaran daging ayam bagi menampung permintaan dan bekalan di dalam negara. Selain daripada jualan terus ke pasaran, daging ayam yang dihasilkan juga digunakan sebagai bahan mentah untuk industri pemprosesan produk daging berproses seperti sosej dan nuget oleh pengusaha agrimakanan tempatan.

Bagi telur ayam, negara ini telah pun mencapai tahap sara diri penuh dengan pengeluaran meningkat 101 juta biji telur pada Julai 2021 berbanding 98 juta biji telur pada tempoh sama tahun lalu, mencatatkan pertumbuhan 3 peratus.
Menurut kenyataan itu lagi, bagi permintaan daging lembu dan kerbau, jabatan akan terus memudahcara kemasukan lembu dan kerbau hidup dari luar negara.
Sehingga bulan Julai 2021, sekitar 12,000 ekor lembu dan kerbau telahpun didatangkan dari Australia.
Sejumlah 2,000 ekor lembu dan kerbau juga dijangka tiba dalam awal bulan September ini, di samping sejumlah 1,600 ekor lembu dan kerbau yang didatangkan dari Malaysia.
Dengan adanya import ternakan hidup ini, tren pengeluaran daging lembu dan kerbau bagi tahun 2021 juga meningkat.
Pengeluaran setakat bulan Julai ialah 2,565 tan metrik berbanding 919 tan metrik dalam tempoh yang sama pada tahun lalu iaitu meningkat hampir 180 peratus.
Pengeluaran daging kambing dan biri-biri juga meningkat iaitu 108 tan metrik setakat bulan Julai 2021 berbanding 18 tan metrik dalam tempoh yang sama pada tahun lalu, pertumbuhan enam kali ganda dengan adanya kemasukan 6,700 ekor kambing dan biri-biri dari Australia untuk disembelih oleh syarikat-syarikat tempatan.
Sebagai usaha berterusan bagi memastikan bekalan makanan di dalam negara tidak terjejas sejak awal tahun 2021, KSSUP dengan kerjasama agensi-agensi yang berkenaan telah pun memberikan pertimbangan dan kebenaran bagi import daging-daging beku seperti daging ayam, lembu dan kambing ke negara ini.
Sehingga kini, sebanyak 223 tan metrik daging ayam telah didatangkan dari Malaysia.
Sebanyak 513 tan metrik daging lembu dan 65 tan metrik daging biri-biri dari Australia. Dalam masa terdekat ini, sebanyak 278 tan metrik daging biri-biri dijangka tiba dari Australia.
Manakala bekalan komoditi buah-buahan dan sayur-sayuran, ia didapati daripada peladang tempatan yang terus bekerjasama meningkatkan pengeluaran bagi membekalkan sebahagian besar keperluan kepada pasaran tempatan walaupun berhadapan cabaran kekurangan tenaga kerja asing semasa wabak COVID-19 melanda.
Walau bagaimanapun, KSSUP menjamin bekalan melalui import masih berjalan seperti biasa bagi mencukupkan keperluan permintaan pasaran dengan kemasukannya mematuhi langkah-langkah prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.