KUCHING, 27 JUN – Bekalan lembu di Sarawak bagi penyembelihan sempena Aidiladha yang akan disambut pada Khamis ini adalah mencukupi.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata negeri itu memerlukan sekitar 1,500 hingga 2,000 ekor lembu setiap tahun bagi ibadah korban.
Beliau berkata pada tahun ini, sebanyak 1,300 ekor lembu telah diimport dari Australia, 80 ekor dari Sabah dan 500 ekor dibekal pengeluar tempatan.
“Tempahan lembu korban pada tahun ini juga berkurangan berbanding tahun sebelumnya disebabkan kenaikan harga lembu lebih 20 peratus. Kenaikan kos seperti bahan makanan, kekurangan pekerja ladang, nilai ringgit menurun dan keadaan ekonomi semasa juga mempengaruhi bilangan lembu korban.
“Sebelum pandemik COVID-19, harga lembu seberat 300 kilogram (kg) hingga 350kg dianggarkan RM6,000 seekor, namun kini harga telah mencecah hingga RM7,000.
“Bagi lembu seberat 450kg hingga 500kg pula boleh mencecah RM10,000 seekor,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Dr Rundi berkata haiwan korban yang ditempatkan di masjid, surau atau kampung hendaklah dijaga kebajikannya selain memastikan lembu betina tidak mengandung. – Bernama