GUA MUSANG, 28 OKT – Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menghantar 6,255 kilogram (kg) bantuan bekalan makanan ke empat perkampungan Orang Asli di daerah ini sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut.
Bantuan berkenaan dihantar dengan menggunakan helikopter jenis Mi-17-IV ke Kampung Gob, Kampung Simpor, Kampung Gawin dan Kampung Jader membabitkan 417 keluarga bermula semalam dan hari ini.
Antara barangan yang dihantar ialah beras, gula, biskut, sardin dan tepung gandum.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Ab Aziz Yusoff berkata penghantaran itu ialah langkah proaktif untuk menghantar bekalan makanan ke perkampungan Orang Asli yang terletak jauh dan sukar untuk dihubungi.
“Jawatankuasa Bencana Daerah melalui Pejabat Tanah bersama Pusat Khidmat DUN bekerjasama, dan kita memohon Unit Udara JBPM untuk menghantar bekalan makanan ke kampung-kampung berkenaan.
“Penghantaran bakul makanan ini sebagai persiapan awal dan untuk digunakan jika terputus bekalan makanan semasa musim tengkujuh ataupun musim banjir, jadi kita mulakan dengan pos yang paling jauh dahulu,“ katanya ketika ditemui di Padang Kompleks Serbaguna Majlis Daerah Gua Musang, di sini hari ini. – Bernama
