Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Bekalan telur terjejas akibat selesema burung

    DENVER, AMERIKA SYARIKAT – Kekurangan bekalan telur dan harga yang melambung tinggi di kedai runcit terus memberi kesan kepada pelanggan tempatan akibat daripada wabak selesema burung yang merebak dengan pantas di kalangan burung liar dan telah menyebabkan kematian berjuta-juta ekor ayam ternakan.

    “Kami tidak pernah melihat penularan wabak seteruk ini sebelumnya,” kata Michael Tincher dari Program Rocky Mountain Raptor (RMRP) kepada akhbar The Colorado Sun pada Isnin lalu.

    RMRP ialah sekumpulan saintis yang berusaha ke arah melindungi dan menyelamatkan burung pemangsa liar.

    Wabak selesema burung terburuk di Colorado kini telah mengakibatkan kematian hampir 6.4 juta ekor ayam ternakan dan penularannya semakin meningkat menjangkiti burung liar dan membunuh beberapa ekor burung helang botak dan burung pemangsa lain, lapor akhbar itu, tambahnya “pemerhati hidupan liar menggelar kejadian ini sebagai mimpi buruk.”

    Minggu lalu, Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) mentakrifkan di laman sesawangnya mengenai selesema burung baru-baru ini sebagai Influenza Burung Sangat Patogenik (HPAI) dan memberi amaran kepada para penternak ayam bahawa “burung liar boleh dijangkiti dan tidak menunjukkan tanda-tanda penyakit.

    Rak makanan di sebuah kedai runcit kosong tanpa telur di Westminster, Colorado, Amerika Syarikat. – Xinhua
    Telur untuk dijual di sebuah pasar raya di Millbrae, California, Amerika Syarikat. – Xinhua
    Seorang pelanggan melintasi rak telur yang dijual di sebuah pasar raya di Millbrae, California, Amerika Syarikat. – Xinhua

    “Ia boleh membawa penyakit ke kawasan baharu apabila berhijrah, yang berpotensi mendedahkan unggas domestik kepada virus itu.”

    HPAI telah dikesan di semua 50 buah negeri di Amerika Syarikat (AS), termasuk Colorado, Utah, North Dakota, Oregon dan California dalam 10 negeri teratas telah mengesahkan kematian beberapa burung liar, walaupun Florida, mempunyai garis pantai dan unggas air yang banyak, namun ia berada teratas dalam catatan negara dengan jumlah terbanyak kematian burung iaitu 379 ekor, menurut data USDA.

    Beratus-ratus kematian burung liar mungkin tidak terdengar seperti banyak, tetapi pakar berkata jumlah yang dilaporkan adalah hanya sebahagian kecil burung yang mati di persekitaran liar.

    “Pegawai hidupan liar berkata mereka terharu dengan laporan tentang bangkai di persekitaran liar dan mengehadkan ujian terhadap burung yang telah mati untuk menumpukan usaha di kawasan yang paling terjejas,” kata akhbar itu.

    Wabak burung global semasa dinamakan ‘COVID of Bird Flu,’ Tincher memberitahu Xinhua bahawa kunci awal ke arah memerangi wabak itu ialah pendidikan dan kesedaran, dan bukannya mewujudkan panik.

    “Apabila COVID melanda, kami tidak tahu apa-apa mengenainya, jadi kami perlu bersabar,” katanya. “Kami perlu memerhatikan dengan lebih lanjut terlebih dahulu dan melihat bagaimana ia merebak.”

    Burung liar yang terjejas oleh virus itu meliputi keseluruhan unggas air liar dari White Pelican di selatan hingga ke Snow Goose di utara, dan termasuk Red-Tailed Hawk, Mallard, dan helang botak, yang merupakan simbol legenda warisan AS.

    Bulan lalu, pegawai Taman dan Hidupan Liar Colorado (CPW) berasa kecewa kerana penyakit semasa telah membunuh helang botak yang telah diberikan alat penjejak, salah satu daripada “populasi helang botak yang semakin meningkat tetapi masih sedikit di negeri itu berjumlah 250 hingga 300 ekor di seluruh negeri,” lapor CBS Colorado.

    “Hal ini pasti melunturkan harapan, terutamanya dengan kehilangan jumlah burung-burung ini di banyak tempat,” kata penyelidik CPW, Reesa Conrey kepada media.

    Sementara itu, pasaran tempatan di seluruh barat mengalami wabak selesema burung.

    “Kematian besar-besaran kawanan burung-burung tersebut telah memusnahkan pasaran telur komersil di negara ini,” tambah The Colorado Sun, tambahnya lagi setiap pengeluar telur utama di Colorado telah terjejas teruk sejak wabak itu meningkat semula bulan lepas.

    “Para pengguna tidak menyedari bahawa kenaikan harga telur ini bukan disebabkan oleh inflasi, tetapi disebabkan oleh wabak selesema burung terburuk dalam rekod,” kata Tincher sambil menyatakan bahawa klasifikasi penyakit “Amat Patogenik” itu mengetepikan penyakit itu daripada semua penyakit yang lain.

    Harga telur meningkat dua kali ganda pada 2022, menurut Indeks Harga Pengguna (CPI) dan setakat ini 2023, pengguna kini berhadapan dengan masalah kenaikan harga telur.

    “AS$10 untuk sedozen telur, itu benar-benar tidak masuk akal,” Erma Rouse, pekerja Circle K di Denver Utara, memberitahu Xinhua pada Selasa, yang kedai serbaneka kecilnya tidak mempunyai telur untuk dijual pada hari itu.

    Dia sedar bahawa wabak burung telah menyebabkan kekurangan telur dan lonjakan harga, dia memberitahu Xinhua bahawa dia tidak akan memakan telur sehingga harganya turun.

    “Kami mendapat panggilan daripada orang yang memberitahu kami haiwan liar atau helang berdekatan bertindak pelik atau mati, dan soalan pertama yang kami ajukan kepada mereka ialah jika mereka mempunyai ternakan ayam berdekatan,” kata Tincher kepada Xinhua.

    Ramai penternak ayam yang tinggal di kawasan luar bandar tidak menyedari sepenuhnya bahawa wabak burung yang berterusan, yang semakin surut dan semakin teruk selama hampir setahun, mungkin lebih banyak disebarkan oleh burung liar yang membawa penyakit itu.

    Bukan sahaja pengeluar utama Colorado perlu memusnahkan kumpulan ayam bertelur, bahkan beribu-ribu pengusaha ayam kecil dan rakyat yang makan telur ternakan sendiri atau menjualnya dalam kuantiti yang kecil juga turut merasai tekanan.

    Pada Mac lalu, jumlah kawanan ternakan ayam komersial sebanyak 2.75 juta ekor di Wisconsin terpaksa dimusnahkan, menurut sebuah laporan, dan pada bulan April, “Kilang telur AS telah memusnahkan 5.3 juta ekor ayam akibat selsema burung,” dinyatakan dalam tajuk utama The Guardian.

    San Francisco Chronicle melaporkan pada Selasa bahawa “restoran kawasan teluk membayar dua kali ganda untuk telur kerana selesema burung menghalang pembekalan telur.”

    “Wabak selesema burung telah menjejaskan bekalan telur manakala pembeli kedai runcit di California dan di seluruh negara banyak rak kosong dan harga tinggi juga telah menjejaskan beberapa buah restoran,” kata artikel itu.

    Pengusaha restoran Bay Area berkata, “Saya kini membayar lebih daripada AS$100 setiap kes dan harga pengeluar untuk telur meningkat lebih daripada 280 peratus dalam satu tahun setakat November,” kata laporan itu, memetik laporan data yang tersedia daripada Biro Buruh Statistik yang dikeluarkan baru-baru ini. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...