Oleh Syahmi Hassan & James Kon
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 DIS – Negara Brunei Darussalam ketika ini mempunyai jumlah vaksin Pfizer yang mencukupi bagi Program Vaksinasi Dos Penggalak dan akan meningkatkan jumlah bekalan dengan penghantaran vaksin Moderna dan Pfizer dijangka akan dibuat pada awal tahun hadapan.
Perkara tersebut dikongsikan oleh Pakar Bersekutu dan Ketua Bahagian Kawalan Penyakit di Kementerian Kesihatan, Dr Justin Wong semasa temu bual mengenai Program Vaksinasi Dos Penggalak yang diadakan secara maya, pada hari ini.
Dr Justin memberitahu, “Ketika ini kami mempunyai bekalan vaksin yang mencukupi dan akan menambahnya pada awal suku pertama atau kedua tahun hadapan.
“Ini merupakan tambahan bagi pemberian vaksin kepada golongan berumur lima hingga 11 tahun,” tambahnya.
Selain itu, beliau turut memberitahu bahawa pihak Kementerian Kesihatan mempunyai baki 200,000 dos vaksin Pfizer yang boleh digunakan sebagai dos penggalak.
“Kami mempunyai bekalan vaksin yang lebih daripada mencukupi sehingga pertengahan tahun hadapan. Tempahan vaksin kami merangkumi lebih daripada penduduk negara ini.
“Ini adalah bagi sekiranya terdapat keperluan untuk suntikan keempat yang kami sedang pantau ketika ini. Kami sedang mengkaji perkara ini dengan terperinci,” tambahnya.
Semasa temu bual tersebut, Dr Justin menyeru orang ramai yang berkelayakan untuk menerima dos penggalak agar tampil ke hadapan menerimanya bagi meningkatkan perlindungan terutama bagi melawan varian baharu COVID-19, Omicron.
Dr Justin menyarankan kepada orang ramai yang sudah menerima dos kedua vaksin COVID-19 sekurang-kurangnya tiga bulan lalu untuk mengambil suntikan penggalak.
“Nampaknya sekarang kita mungkin memerlukan dos ketiga. Oleh itu, sila datang secara walk-in dan menjelang akhir bulan ini kami akan mempunyai sistem tempahan juga.
“Ini terutamanya bagi individu yang mempunyai penyakit kronik agar tampil untuk mendapatkan dos penggalak,” tekan beliau.
“Kita telah bekerja keras untuk mencapai kedudukan sekarang. Jadi jangan kita kehilangannya.
“Ianya dalam genggaman kita. Kita boleh membuat perubahan supaya tidak perlu kembali kepada langkah sekatan ketat seterusnya. Kita hanya perlu melengkapkan dengan dos ketiga,” kata Dr Justin Wong.
Semasa temu bual tersebut, beliau juga mengongsikan serba sedikit mengenai varian baharu Omicron, di mana virus berkenaan telah mencetuskan kebimbangan kerana ia dilhat berpotensi untuk menurunkan beberapa tindak balas terhadap imun.