PYEONGTAEK, 28 JULAI – Seorang bekas ahli Dewan Undangan Wilayah Gyeonggi ditemukan mati hari ini ketika siasatan sedang dijalankan terhadap dakwaan kaitannya dengan bekas Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol.

Agensi berita Yonhap melaporkan Choi Ho ditemukan tidak bernyawa di kawasan berbukit di Pyeongtaek, kira-kira 75 kilometer di selatan Seoul sekitar 3 pagi iaitu kira-kira sejam selepas keluarganya melaporkan kehilangan beliau.
Polis percaya Choi keluar dari rumah sekitar 5 petang kelmarin dan membunuh diri, namun tiada nota bunuh diri ditemukan.
Choi sebelum ini menerima pencalonan daripada Parti Kuasa Rakyat, parti pemerintah ketika itu untuk bertanding jawatan Datuk Bandar Pyeongtaek dalam pilihan raya kerajaan tempatan pada Jun 2022.
Pendakwa raya kini sedang menyiasat dakwaan campur tangan bekas Presiden Yoon dan isterinya, Kim Keon Hee dalam proses pencalonan itu. – Bernama