HANOI, 17 Okt – Bekas ahli undangan wanita Vietnam telah dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana melakukan penipuan selepas dia menggelapkan AS$16 juta dari pembayaran pendahuluan dari bakal-bakal pemilik rumah ketika dia menjadi pemaju hartanah, menurut seorang kerani mahkamah hari ini.
Chau Thi Thu Nga adalah orang terbaru dihukum sebagai sebahagian usaha kerajaan dalam tindakan antirasuah yang menyasarkan bekas pegawai dan yang sedang dalam jawatan mereka, pengurus-pengurus bank dan eksekutif di negara komunis itu.
Selaku pengerusi wanita syarikat swasta Housing Group, Nga telah menjual beratus-ratus buah pangsapuri kepada bakal-bakal pemilik rumah, bermula tahun 2009, meskipun projek itu tidak pernah mendapat lesen dan hartanah itu tidak pernah dibina.
Bekas ahli undangan itu yang berusia 52 tahun yang kemudian menjadi ahli parlimen telah disabitkan dengan kesalahan menjual pangsapuri ‘pada kertas sahaja’, menurut keputusan mahkamah yang dilaporkan oleh VNExpress yang dikawal kerajaan.
Dia didapati bersalah semalam dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, seorang kerani mahkamah mengesahkan kepada AFP hari ini. Sembilan orang yang turut bersubahat juga disabitkan dengan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara dari tiga tahun yang ditangguhkan, hingga penjara tujuh tahun.
Mahkamah memerintahkan Nga membayar balik kepada para mangsa yang ditipunya. – AFP