LONDON, 23 JULAI – Bekas pemain tengah pasukan Tottenham Hotspurs dan England, Paul Gascoigne semakin pulih selepas dibenarkan keluar dari hospital dan berehat di rumahnya.
Lelaki berusia 58 tahun itu, yang tinggal di Poole, di pantai selatan England, dimasukkan ke rawatan rapi pada Jumaat lalu selepas ditemui dalam keadaan separuh sedar oleh rakannya.
Bagaimanapun, syarikat pengurusannya mengesahkan dia kini telah dibenarkan pulang.
“Paul secara sukarela pergi mendapatkan bantuan kecemasan Jumaat lalu selepas kurang selesa dengan keadaan tekaknya yang telah dialami sejak sekian lama,” kata kenyataan Agensi MNT. “Dia kini sudah pulang ke rumah dan sihat.”
Gascoigne, yang memenangi 57 caps untuk England sedang dirawat oleh kakitangan unit rawatan rapi dan kemudiannya dipindahkan ke unit perubatan akut, di mana keadaannya dikatakan stabil sebelum dia dibenarkan pulang.
Semasa zaman kegemilangannya sebagai salah seorang pemain bola sepak paling berbakat, Gascoigne pernah bermain untuk Newcastle, Tottenham, Lazio, Rangers, Middlesbrough dan Everton.
Dia menjadi pemain bintang yang semakin dikenali selepas persembahannya yang menarik perhatian pada Piala Dunia 1990 di Itali, di mana England mara ke separuh akhir, dan dia juga mempamerkan aksi cemerlang di Euro 96.
Dia juga bergelut dengan masalah ketagihan alkohol dan kemurungan serta turut mengalami beberapa siri masalah kesihatan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada 2020, Gascoigne berkata dia telah banyak berubah selepas pelet anti-alkohol dijahit ke dalam perutnya sebagai salah satu teknik rawatan namun tahun lalu, dia telah mengaku dia adalah seorang ‘pemabuk sedih’ yang tinggal di rumah ejennya. – AFP
