LONDON, 1 MEI – Bekas penyerang Manchester United, Andy Cole telah menubuhkan dana penyelidikan untuk membantu meningkatkan pemindahan buah pinggang dan kesejahteraan pesakit berikutan pertarungannya selepas kegagalan buah pinggang.
Cole, yang memenangi beberapa trofi di bawah kendalian Alex Ferguson di Old Trafford, mengalami kegagalan buah pinggang pada tahun 2015 setelah dijangkiti virus ketika dalam lawatan ke Vietnam sebagai duta kelab United. Dia menjalani pembedahan yang menyelamatkan nyawanya tiga tahun lalu, dengan anak saudaranya mendermakan buah pinggang untuknya.
Pemain berusia 48 tahun itu, yang kini berada dalam pengasingan diri kerana koronavirus (COVIFD-19), ingin menolong orang ramai melalui Andy Cole Fund yang dikendalikan oleh Kidney Research UK, dengan fokus pada penyelidikan untuk meningkatkan pemindahan buah pinggang dan kesejahteraan pesakit.
“Saya cukup kuat mental untuk bermain bola sepak, tetapi ini adalah pertempuran paling sukar yang pernah saya hadapi,” kata Cole, yang pernah bekerja sebagai penolong jurulatih di Southend divisyen ketiga. – AFP