MUNICH, JERMAN, 27 JUN – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Audi, Rupert Stadler menerima hukuman penangguhan dan denda pada penghujung perbicaraan ‘dieselgate’ di Jerman, hari ini, menjadikannya eksekutif berpangkat tinggi pertama yang disabitkan bersalah atas penipuan pencemaran yang menggegarkan industri kereta pada 2015.
Selaras dengan perjanjian pe-ngakuan yang dipersetujui bulan lalu, Stadler mengelak daripada hukuman penjara sebagai balasan kerana mengaku melakukan penipuan dan kecuaian.
Mahkamah daerah Munich sebaliknya menjatuhkan hukuman penangguhan satu tahun dan sembilan bulan kepada Stadler dan memerintahkannya membayar denda 1.1 juta euro (AS$1.2 juta).
Lelaki berusia 60 tahun itu mengakui pada Mei bahawa dia membenarkan kenderaan yang berpotensi dilengkapi dengan perisian manipulasi untuk terus dijual walaupun selepas mengetahui penipuan itu.
Gergasi kereta Jerman, Volkswagen yang anak syarikatnya termasuk Porsche, Audi, Skoda terjerumus ke dalam krisis selepas mengakui pada September 2015 bahawa ia telah memasang perisian untuk menyesuaikan tahap pencemaran pada 11 juta kenderaan diesel di seluruh dunia.
Alat yang digelar ‘defeat device’ itu menjadikan kenderaan kelihatan kurang mencemarkan dalam ujian makmal berbanding di jalan raya.
Sepanjang perbicaraannya, yang bermula pada 2020, Stadler sering menafikan kesalahannya.
Tetapi bulan lalu semasa perbicaraannya di bandar selatan Jerman, peguamnya berkata Stadler telah mengabaikan untuk memaklumkan rakan kongsi perniagaan bahawa kereta dengan ‘defeat device’ itu masih berada di pasaran. – AFP


