BERLIN, 14 MAC – Bekas Canselor Jerman, Angela Merkel kelmarin menafikan dakwaan bahawa beliau telah menyembunyikan laporan risikan yang menyimpulkan kebocoran makmal di China sebagai punca utama wabak COVID-19.
“Canselor menolak tuduhan itu dengan tegas,” kata pejabatnya dalam kenyataan kepada akhbar harian Jerman Tagesspiegel.
Akhbar mingguan Die Zeit dan Sueddeutsche Zeitung sebelum ini melaporkan bahawa Perkhidmatan Risikan Persekutuan Jerman (BND) telah menilai pada tahun 2020 bahawa kebarangkalian kebocoran makmal di Wuhan mencetuskan pandemik adalah antara 80 hingga 95 peratus.
Menurut laporan itu, selepas mengarahkan siasatan dilakukan, Merkel kemudiannya menghalang hasil laporan tersebut diterbitkan. Perkara sama juga didakwa dilakukan oleh penggantinya, Canselor semasa, Olaf Scholz, yang memegang jawatan pada Disember 2021.
Pihak berkuasa dipercayai mahu mengelak daripada mencetuskan panik dalam kalangan rakyat serta bimbang akan menjejaskan hubungan diplomatik dengan Beijing.

Merkel enggan mengulas lanjut mengenai tuduhan itu dan mengarahkan sebarang pertanyaan dikemukakan kepada pejabat canseleri, yang bertanggungjawab menyimpan arkib kerajaan.
Sementara itu, bekas Menteri Kesihatan Jerman, Jens Spahn berkata beliau tidak mengetahui tentang laporan tersebut.
“Saya hanya mendengarnya melalui media,” katanya kepada stesen televisyen RTL-Germany.
Tambahnya, teori kebocoran makmal itu sememangnya sudah lama dianggap sebagai satu kemungkinan, namun mengesahkannya atau menafikannya tidak akan mengubah langkah-langkah kesihatan awam yang telah diambil.
“Virus itu tetap seperti yang kita ketahui dan menyebabkan kesan yang telah kita alami,” katanya.
Sehingga kini, persoalan sama ada virus COVID-19 tersebar secara tidak sengaja dari makmal atau berpindah daripada haiwan kepada manusia masih menjadi perdebatan. – AFP