Khamis, November 20, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bekas cef gembira jadi usahawan bunga kantan

    BANGI, 23 DIS – Demi menjaga ibu yang menghidap kanser payudara tahap tiga selain isteri sarat hamil anak pertama, Saqdam Zaim Arffain memutuskan untuk bertukar kerjaya, melakukan sesuatu yang bukan sahaja di luar kepakaran tetapi juga belum tentu akan hasilnya daripada seorang tukang masak kepada usahawan tani.

    Enam tahun berlalu, bergelumang tanah dan keringat, ternyata lelaki berusia 31 tahun itu membuat keputusan yang tepat kerana hasil yang diraihnya selaku usahawan bunga kantan sekarang jauh lebih lumayan berbanding upah yang diterima sebagai cef di sebuah kilang semikonduktor. 

    Namun, paling penting katanya, beliau mempunyai masa untuk bersama keluarga dan menjaga ibu yang masih menjalani rawatan.

    “Memang seronok sebenarnya bekerja sebagai seorang cef, namun waktu kerjanya cukup panjang dan sangat melelahkan.

    “Apabila ibu jatuh sakit dan isteri pula sedang sarat mengandung, saya putuskan untuk melakukan pekerjaan yang tidak mengikat masa saya,” kongsinya ketika ditemui Bernama di ladang bunga kantannya di sini baru-baru ini.

    Usahawan bunga kantan Saqdam Zaim Arffain menunjukkan pokok bunga yang sudah matang. – Bernama

    Pokok bunga kantan yang diusahakan oleh Saqdam Zaim Arffain. – Bernama

    Bagaimanapun menurut lelaki itu, kejayaan yang dikecapi hari ini tidak datang sekelip mata, kerana beliau menghabiskan masa kira-kira setahun melakukan kerja lain sebelum mengusahakan tanaman bunga kantan.

    Sewa tanah

    “Saya berhenti kerja pada 2015. Pada mulanya saya berniaga kecil-kecilan di tepi jalan, namun selepas seketika saya berasakan ia tidak serasi dengan saya.

    “Kemudian tergerak di hati saya untuk menceburi bidang pertanian, bertanam sayur. Tidak jauh dari rumah saya ada satu kawasan lapang iaitu tanah rizab KTMB (Keretapi Tanah Melayu Berhad), dan selepas diselidik saya dapati tanah itu boleh disewa untuk dijadikan kawasan pertanian.

    “Saya berjaya menyewa tanah seluas tiga ekar atau 1.2 hektar itu yang kemudian saya tanam dengan serai paha ayam. Hasilnya saya jual kepada peraih dan peniaga kecil di sekitar Bangi, namun selepas mengambil kira kos dan tenaga yang dikerah, keuntungannya tidak seberapa.

    “Bayangkan, sebatang serai cuma boleh dijual sekitar lima sen, dan bagi saya ia tidak berbaloi kerana ini adalah punca pendapatan utama bagi menanggung keluarga,” ujarnya yang turut menanam pokok buah-buahan.

    Beliau kemudian menjalankan kajian sendiri bagi mengenal pasti sayur-sayuran yang mudah ditanam dan memberi laba memuaskan.

    “Dari situlah saya tahu kantan berpotensi besar untuk diusahakan. Bermula dengan hanya lapan rumpun pokok kantan pada 2016, kini saya mempunyai lebih kurang 800 rumpun yang menghasilkan jualan bunga kantan dan benih bernilai kira-kira RM5,000 hingga RM10,000 sebulan.

    “Saya jual secara terus kepada pembeli, kedai dan juga pasar raya di sekitar Lembah Klang,” ujarnya, menambah ladang beliau mengeluarkan kira-kira 400 hingga 700 batang bunga kantan seminggu.

    Menurutnya, sebatang bunga kantan dijual pada harga RM1.50 dan RM2, namun boleh mencecah hingga RM5 sebatang pada musim perayaan.
     
    Mudah dijaga

    Menurut Saqdam Zaim, pokok kantan merupakan tumbuhan malar, iaitu hanya ditanam sekali dan boleh bertahan hidup dalam apa juga keadaan, mudah dijaga serta mempunyai daya tahan yang tinggi terhadap serangan penyakit dan makhluk perosak.

    “Cara penanamannya cukup mudah iaitu melalui benih rizom yang diambil daripada pokok kantan yang sudah matang dan telah menghasilkan bunga. Benih ini boleh ditanam di tanah gambut yang lembap dan dekat dengan mata air.

    “Pokok ini juga tidak perlukan penjagaan rapi selain tidak perlu dibaja dengan kerap. Memadai gunakan teknik mulching untuk menjaga kelembapan tanah dan membantu tumbesaran.

    “Teknik mulching ini  cukup mudah, cuma taburkan daun-daun kering di atas tanah dan ia akan menghalang lalang atau rumput daripada tumbuh. Ia juga akan menggalakkan pertumbuhan mycorrhizae (kulat baik) dalam tanah yang membantu dalam proses simbiosis nutrisi antara pokok dan kulat,” jelasnya yang hanya beroleh pengetahuan melalui pembelajaran sendiri. 

    Menurutnya lagi, pokok kantan yang ditanam daripada rizom lebih cepat berbunga berbanding pokok daripada biji benih yang boleh mengambil masa hingga dua tahun. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda