LA PAZ, 30 April – Bekas diktator Bolivia, Luis Garcia Meza, yang menjalani hukuman penjara yang lama atas jenayah yang dilakukan selepas rampasan kuasa tenteranya pada 1980, meninggal dunia semalam di hospital La Paz pada usia 88 tahun, beritahu peguamnya kepada media tempatan.
Garcia Meza meninggal dunia akibat jantung terhenti dan kegagalan pernafasan di hospital tentera Cossmil di La Paz, di mana bekas jeneral itu menghabiskan lebih satu pertiga daripada hukuman penjara 30 tahunnya, menurut peguam Frank Campero.
Garcia Meza menerajui tampuk pemerintahan dalam satu rampasan kuasa tentera ganas pada Julai 1980, pada akhir tempoh pemerintahan diktator tentera di Latin Amerika.
Berpuluh orang terbunuh apabila tenteranya merampas kuasa, termasuk ahli sejarah dan pemimpin sosialis Marcelo Quiroga Santa Cruz, di mana mayatnya tidak pernah ditemui.

Seorang penentang komunis, Garcia Meza bertindak keras ke atas penentang berhaluan kiri dan menyeksa pencabar, namun rejimnya juga mempunyai hubungan erat dengan penyeludup dadah. Beliau meletak jawatan selepas berkuasa selama 13 bulan.
Pada April 1993 Garcia Meza dijatuhi hukuman penjara 40 tahun atas pembunuhan dan penganiayaan yang dilakukan ketika beliau berkuasa, tetapi beliau mengelak hukuman penjara dengan melarikan diri ke luar negara.
Pihak berkuasa menjejakinya di Brazil pada Mac 1995. Beliau ditahan dan dihantar pulang ke Bolivia, di mana beliau ditempatkan dalam penjara yang dikawal ketat.
Menteri dalam negeri bekas diktator, Luis Arce Gomez, digelar ‘menteri kokain’, menjalani hukuman penjara kerana menyeludup dadah di Amerika Syarikat yang berakhir pada tahun 2009. Beliau seterusnya di hantar ke Bolivia untuk menjalani hukuman penjara 30 tahun kerana kesalahan hak asasi manusia. – AFP