Bekas graduan dipenjara seumur hidup

WASHINGTON, 19 JULAI – Seorang bekas graduan di universiti Amerika Syarikat (AS) telah dihukum penjara seumur hidup tanpa ada kemungkinan akan dibebaskan atas kesalahan menculik dan membunuh dengan kejam seorang sarjana pelawat dari China.

Brendt Christensen, 30, yang tidak bercakap semasa pendengaran itu, berdepan kemungkinan hukuman mati tetapi peguamnya menyatakan Christensen sudah mengakui kesalahannya di awal perbicaraan dalam usaha untuk melepaskan diri daripada hukuman itu.

Hakim Daerah AS, James Shadid, yang menjatuhkan hukuman, menganggap tindakan Christensen sebagai ‘keganasan yang tidak boleh dijelaskan’ dan menuduhnya ‘memenuhi fantasi diri tanpa mempedulikan orang lain selain dirinya’, menurut laporan Chicago Tribune.

Christensen menculik Zhang Yingying pada Jun 2017 di sebuah perhentian bas berdekatan kampus University of Illinois di Champaign.

Para pendakwa raya menyatakan Christensen mengheret Zhang ke dalam keretanya sebelum mencekik dan memukulnya dengan kayu besbol, menikamnya dan memotong-motong jasadnya untuk dihapuskan. Jasad Zhang belum ditemui.

Pada Jun, Christensen didakwa atas kesalahan menculik sehingga menyebabkan kematian, serta dua dakwaan lagi kerana menipu FBI, yang menyiasat kes tersebut.

“Secara tragiknya, kehidupan seorang wanita muda menjadi pendek disebabkan perbuatan jenayah kejam oleh tertuduh dalam kes ini,” kata Penolong Peguam Negara, Brian Benczkowski, dalam satu kenyataan. – AFP

Ronggao Zhang, bapa kepada Zhang Yingying, bercakap pada satu sidang media selepas pengumuman hukuman mati ke atas Christensen. GAMBAR SISIPAN: Brendt Christensen dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup. – AP