SINGAPURA, 11 APRIL – Seorang bekas guru prasekolah mengaku di mahkamah bahawa dia dengan sengaja membiarkan rakan sekerjanya memperlakukan seorang kanak-kanak perempuan berusia satu tahun secara kasar.
Wanita berbangsa Cina, berusia 29 tahun, berada di tempat kerja apabila dia melihat rakan sekerjanya menolak sebuah meja rapat ke dinding untuk memerangkap kanak-kanak tersebut.
Apabila dia melihat kanak-kanak itu bergerak di bawah meja, dia menunjuk ke arah kanak-kanak itu dan memberitahu rakan sekerjanya yang berusia 30 tahun, juga seorang guru prasekolah pada ketika itu.
Menurut dokumen mahkamah, apabila kanak-kanak itu bangun, wanita yang lebih tua, seorang warga Singapura, menolak meja tersebut sehingga terkena bahagian badan mangsa, menyebabkan mangsa menangis.
Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Ariel Tan, memaklumkan kepada mahkamah bahawa wanita yang lebih tua itu juga telah menggunakan sekeping plastik untuk memukul kepala kanak-kanak tersebut, namun rakan sekerjanya tidak campur tangan ketika menyaksikan perlakuan itu.
Guru yang lebih muda itu kemudian digantung tugas sebelum dipindahkan ke bahagian pentadbiran. Dia mengaku bersalah pada 10 April, atas kesalahan membenarkan penderaan terhadap kanak-kanak itu dan gagal mengambil tindakan melindunginya.
Wanita tersebut dijangka akan mengaku bersalah pada Mei nanti. Identiti pihak-pihak yang terlibat tidak didedahkan kerana perintah larangan media terhadap saksi, termasuk wanita yang lebih tua sebagai pelaku penderaan. – ANN/The Star
