WASHINGTON, 9 MEI – Bekas Hakim Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS), David H. Souter, seorang Republikan dari New Hampshire yang menjadi kesayangan golongan liberal sepanjang hampir 20 tahun di bangku kehakiman, telah meninggal dunia pada usia 85 tahun.
Mahkamah memaklumkan hari ini Souter telah meninggal dunia dalam kediamannya di New Hampshire kelmarin.
Souter bersara pada Jun 2009, memberi peluang kepada Presiden Barack Obama ketika itu untuk mengisi kekosongan pertama dalam Mahkamah Agung.
Obama, seorang Demokrat, melantik Sonia Sotomayor, wanita pertama berketurunan Latino yang menyertai mahkamah tersebut.
Semasa persaraannya, Souter memberi amaran bahawa kejahilan tentang cara kerajaan berfungsi boleh menjejaskan demokrasi AS.
Souter ialah hakim ke-105 dalam sejarah Mahkamah Agung dan hanya hakim keenam yang tidak pernah berkahwin.
Walaupun pernah dipuji oleh The Washington Post sebagai lelaki bujang paling layak di ibu negara di mana beliau mengelak daripada kehidupan sosial elit.
Souter bekerja tujuh hari seminggu sepanjang penggal mahkamah dari Oktober hingga awal musim panas, sering kali berada di pejabat selama lebih 12 jam sehari.
Souter hanya menjadi Hakim Persekutuan selama empat bulan sebelum dilantik ke Mahkamah Agung.
Beliau hanya mendengar satu kes sebagai hakim persekutuan dan sewaktu menjadi hakim negeri, jarang diberi peluang mengadili isu perlembagaan. – AP
