Bekas isteri kepada pelakon Hafidz Roshdi iaitu Nurul Shuhada Mat Shukri berangkat ke tanah suci Mekah bagi menunaikan ibadah umrah pada Sabtu.
Berkongsi mengenai perkara itu menerusi Instagram, Shuhada, 29, memohon orang ramai mendoakan agar urusan ibadahnya di sana dipermudahkan.
Malah, sebelum warganet mempertikaikan pemergiannya itu, Shuhada turut memberitahu dia sudah selesai tempoh edah.
“Ya Allah, aku datang ni, Ya Rasulullah aku datang ni, doakan urusan saya dipermudahkan segalanya insya Allah.
“Harap maklum, jangan risau saya sudah habis edah,” katanya.
Bersama kapsyen berkenaan, dia turut berkongsi foto ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan pakaian lengkap menggayakan persalinan jubah rona tanah.
Menurut kenyataan yang dikongsi mStar, pada Khamis lalu, Hafidz dan Shuhada akhirnya sah bercerai selepas Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor mengesahkan lafaz dibuat aktor berkenaan pada 22 Februari lalu adalah sah mengikut hukum syarak.
Dalam pada itu, Shuhada berharap pengalaman rumah tangga dilalui olehnya itu dapat dijadikan contoh kepada wanita lain agar mereka tidak berdepan isu sama. – Agensi