YANGON, 22 MEI – Seorang bekas jeneral Myanmar yang pernah berkhidmat sebagai duta ke Kemboja telah ditembak mati hari ini, menurut dua sumber tentera, dalam satu serangan yang didakwa dilakukan oleh pejuang anti-kudeta.
Menurut sumber yang rapat dengan tentera berkata bekas jeneral dan duta ke Kemboja, Cho Tun Aung, ‘telah ditembak dan dibunuh’ di luar rumahnya di Yangon sekitar jam 8:30 pagi, ketika beliau memberi sedekah makanan kepada sami-sami yang mengumpul derma.
“Beliau biasanya menyumbang makanan setiap pagi,” kata sumber itu yang enggan dikenali. “Penembak mengambil kesempatan daripada rutin ini untuk membunuhnya.”
Seorang pegawai tentera, juga enggan dikenali, mengesahkan bahawa Cho Tun Aung telah ditembak mati tanpa memberikan butiran lanjut.
AFP tidak dapat mengesahkan secara bebas dakwaan tersebut dan jurucakap junta tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.
Serangan itu telah didakwa oleh kumpulan pejuang yang kurang dikenali, mendakwa bahawa Cho Tun Aung adalah seorang yang rapat dengan ketua junta Min Aung Hlaing dan sedang mengajar di sebuah akademi pertahanan selepas bersara. – AFP
