MADRID, 18 FEB – Bekas pemenang Tour de France, Egan Bernal, mengalami patah tulang selangka selepas terlibat dalam kemalangan semasa perlumbaan di Sepanyol, kata pasukannya kelmarin.
Penunggang basikal Colombia berusia 28 tahun itu dimasukkan ke hospital selepas kejadian di Classic Jaen Paraiso Interior, yang berlangsung di Andalusia.
“Selepas penilaian menyeluruh di hospital petang ini selepas kemalangan beliau di Clasica Jaen, Egan didiagnosis dengan tulang selangka yang patah,” kata pasukan British INEOS Grenadiers dalam satu kenyataan.
“Beliau akan terus berada di bawah penjagaan pakar dari pasukan perubatan kami dan pelan pemulihan komprehensif akan dilaksanakan untuk menyokong pemulihannya dalam latihan dan perlumbaan.”
Awal bulan ini, Bernal memenangi perlumbaan pertama beliau sejak kemalangan yang mengancam kerjayanya semasa latihan pada 2022.

Kemenangan itu diperoleh dalam kejuaraan ujian masa kebangsaan di Colombia, tempat kelahirannya.
Bernal menjadi bintang basikal pada 2019 apabila memenangi Tour de France pada usia 22 tahun.
Beliau merupakan pemenang pertama dari Amerika Selatan dalam perlumbaan basikal yang paling berprestij itu.
Penunggang basikal Colombia itu menambah gelaran Giro d’Italia pada 2021, tetapi beberapa bulan kemudian beliau cedera parah apabila merempuh sebuah bas yang diparkir semasa latihan di Bogota.
Beliau telah mengalami beberapa kecederaan, termasuk patah femur kanan, patela kanan, beberapa tulang rusuk dan vertebra serta mengalami paru-paru bocor dan trauma dada. – AP