Thursday, March 20, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bekas jurutera dijatuhi hukuman mati

    BEIJING, 19 MAC – Seorang bekas jurutera China telah dijatuhi hukuman mati kerana membocorkan rahsia negara itu kepada kuasa asing, kata agensi perisik Beijing hari ini.

    “Lelaki itu, bernama Liu, menyalin, menduplikasi dan menjual sejumlah besar rahsia negara kepada agensi pengintipan dan perisikan asing,” kata Kementerian Keselamatan Negara China dalam satu hantaran di WeChat rasminya.

    Liu pernah bekerja sebagai penolong jurutera di sebuah institut penyelidikan dan telah meletak jawatan selepas percaya dia telah dilayan secara tidak adil, kata kementerian itu.

    “Sebelum meninggalkan jawatan, dia menyalin secara rahsia dan menyimpan sejumlah besar dokumen sulit yang dikendalikannya, berhasrat menggunakannya kemudian untuk tindakan balas atau pemerasan terhadap pihak atasannya,” tambahnya.

    Bagaimanapun, kementerian itu tidak menyatakan institut penyelidikan yang menggaji Liu, juga tidak memberikan nama penuhnya.

    Liu mengumpul hutang yang banyak selepas pelaburan yang gagal dan mengalihkan perhatiannya kepada dokumen sulit yang dimilikinya, menimbulkan pemikiran khianat untuk menjual risikan, katanya.

    Agensi perisikan asing – yang tidak dinamakan – memutuskan hubungan selepas memperdaya Liu supaya menyerahkan maklumat sulit itu pada harga yang sangat rendah, menurut kementerian itu.

    “Bagaimanapun, Liu tidak menyedari akibat daripada tindakannya itu,” katanya, sambil menambah dia keluar negara tidak lama selepas itu untuk menjual maklumat sulit. – AFP

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda