Kisah kematian pelakon Kim Sae Ron terus menjadi bualan ramai selepas muncul seorang lelaki yang mendakwa dirinya pernah menjadi kekasih aktres berkenaan.
Dalam satu temu bual lelaki yang dikenali sebagai K itu mendedahkan Sae Ron bergelut dengan isu keganasan rumah tangga selepas berkahwin dengan jejaka warganegara Amerika Syarikat pada Januari lalu, menurut laporan mStar.
K memberitahu meskipun Sae Ron sudah berkahwin, namun mereka masih mengekalkan hubungan baik dan selalu berbalas mesej.
Malah dia juga mendakwa suami pelakon itu melakukan keganasan rumah tangga selepas mengetahui tentang hubungan mereka berdua.
Tidak cukup dengan itu, suami Sae Ron juga pernah mengugut untuk membunuh K sekiranya dia masih menghubungi isterinya.
Dalam masa sama, K juga menolak dakwaan kononnya aktor Kim Soo Hyun antara punca Sae Ron bertindak membunuh diri pada Februari lalu.
Sebagai seorang yang pernah mengenali rapat, K merasakan Sae Ron juga mengalami tekanan perasaan kerana hubungan tidak baik dengan keluarga.
“Sae Ron pernah masuk hospital kerana cuba membunuh diri. Selepas dia keluar hospital saya bawanya pulang ke rumah. Ibunya langsung tidak menunjukkan rasa sedih atau simpati.
“Saya juga pelik apabila ibu saudara Sae Ron yang banyak memberi kenyataan selepas dia meninggal dunia,” ujar K.
Pada 16 Februari lalu, Sae Ron ditemukan mati di rumahnya di Seongsu-dong, Korea Selatan.
Keluarga mendiang mendakwa Soo Hyun ada kaitan dengan kematian Sae Ron kerana mereka pernah menjalinkan hubungan cinta. – Agensi
