Bekas ketua gerila dilantik ahli kongres

BOGOTA, 12 JUN – Seorang bekas ketua pemberontak Marxis yang dikehendaki oleh Amerika Syarikat (AS) kerana menyeludup dadah dipilih semalam sebagai ahli Kongres Colombia.

Jesus Santrich, 52, mengalu-alukannya sebagai ‘satu langkah baharu dalam usaha memperjuang dan memperta-hankan keamanan untuk Colombia,’ dalam komen kepada wartawan selepas mengangkat sumpah.

Beliau memegang jawatannya dalam dewan rakyat Colombia sebagai seorang daripada 10 bekas gerila yang dijamin satu kerusi dalam Kongres, salah satu syarat dalam perjanjian perdamaian 2016 yang menamatkan konflik bersenjata setengah abad oleh Angkatan Bersenjata Revolusi Columbia (FARC). Perjanjian tersebut menukar FARC kepada sebuah parti politik, Pasukan Revolusi Alternatif Am, yang menggunakan akronim FARC yang sama sebagai pejuang pemberontak sebelum ini.

Bagaimanapun, Santrich, dengan nama sebenarnya Seuxis Paucias Hernandez, dihalang daripada menduduki kerusinya pada tahun lalu setelah ditahan pada April 2018 kerana disyaki mengambil bahagian dalam penyeludupan 10 tan kokain ke dalam AS, yang berusaha untuk mendapatkan ekstradisinya.

Parti FARC mengeluarkan satu video menunjukkan Santrich, yang buta, mengangkat sumpah di depan naib presiden dewan rakyat Atilano Giraldo. – AFP

Bekas pemberontak FARC Jesus Santrich bercakap kepada wartawan selepas upacara angkat sumpah di Bogota, Colombia pada 11 Jun.