Saturday, May 10, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bekas ketua Interpol disingkirkan

    BEIJING, 30 Nov – Bekas ketua Interpol warganegara China, yang berdepan kes rasuah di negara asalnya, telah disingkirkan daripada lembaga penasihat politik kanan China, menurut media negara itu, hari ini.

    Jawatankuasa Kebangsaan bagi Persidangan Perundingan Politik Rakyat China (CPPCC) bersetuju untuk membatalkan keahlian Meng Hongwei berikutan satu mesyuarat, menurut laporan agensi berita, Xinhua.

    CPCC merupakan sebuah delegasi perhimpunan yang terdiri daripada 2,000 orang ahli, yang memainkan peranan untuk ‘menasihatkan’ kerajaan dengan mengemukakan cadangan dasar.

    Ia termasuklah selebriti bintang filem seperti Jackie Chan, pemain gergasi bola keranjang, Yao Ming dan beberapa ketua korporat terkaya China.

    Meng, yang juga timbalan menteri keselamatan awam, dilaporkan hilang September lalu ketika mengadakan lawatan ke China dari Perancis, di mana Interpol beroperasi.

    Pihak berkuasa kemudiannya mendedahkan dia berdepan siasatan rasuah dan Meng meletak jawatan sebagai ketua organisasi polis antarabangsa.

    Jawatankuasa turut menerima peletakan jawatan bekas ketua persatuan Buddha China, Abbot Xuecheng, yang kini disiasat di bawah kesalahan serangan seksual dan jenayah kewangan.

    Dia turut dipecat sebagai timbalan ketua jawatankuasa etnik dan agama CPPCC. Satu laporan yang dibuat oleh beberapa orang sami awal tahun ini telah menuduhnya atas kesalahan kewangan dan seksual termasuklah memaksa beberapa orang biarawati untuk mengadakan seks bersamanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda