WASHINGTON, 30 Okt – Bekas pengerusi kempen Presiden Donald Trump, Paul Manafort dan bekas rakan perniagaan, Rick Gates, didakwa hari ini atas dakwaan konspirasi ke atas Amerika Syarikat, pelaburan wang haram dan beberapa tuduhan kewangan lain.
Dakwaan itu adalah yang pertama bermula daripada siasatan penasihat khas Robert Mueller hingga kemungkinan hubungan antara kempen presiden Trump dan Rusia.
Pendakwaan itu difailkan di mahkamah persekutuan di Washington yang menuduh kedua-dua lelaki berkenaan menyalurkan puluhan juta dolar bayaran ke atas syarikat-syarikat asing dan akaun-akaun bank.
Manafort dan Gates menyerah diri kepada pihak berkuasa persekutuan dan dijangka hadir di mahkamah hari ini untuk berdepan tuduhan yang dibawa oleh pasukan Mueller.
Pendakwaan itu menyatakan 12 tuduhan termasuk konspirasi ke atas Amerika Syarikat, konspirasi pembersihan wang haram, bertindak sebagai ejen asing yang tidak berdaftar dan beberapa dakwaan berkaitan dengan kegagalan untuk melaporkan bank asing dan akaun kewangan.

Pendakwaan itu mengatakan yang mereka telah memindahkan wang menerusi akaun bank tersembunyi di Cyprus, St. Vincent dan Grenadines serta Seychelles.
Jumlah keseluruhannya, lebih AS$75 juta disalurkan menerusi akaun luar negeri. Manafort telah dituduh melabur wang haram lebih AS$18 juta, menurut pendakwaan itu.
Manafort, 68, telah dipecat sebagai pengerusi kempen Trump pada Ogos selepas terdedah dia telah mengatur operasi melobi terselindung bagi pihak kepentingan pro-Rusia di Ukraine.
Agensi berita AP juga melaporkan yang Manafort juga mewakili bilionair Rusia sedekad yang lalu dengan matlamat untuk meningkatkan kepentingan Presiden Rusia, Vladimir Putin. – AP