Friday, October 18, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bekas ketua keselamatan Mexico dipenjara lebih 38 tahun

    NEW YORK, 17 OKT – Bekas pegawai keselamatan tertinggi Mexico, Genaro Garcia Luna, dijatuhi hukuman penjara lebih 38 tahun di Amerika Syarikat (AS) kelmarin kerana membantu kartel dadah yang sepatutnya dibanterasnya.

    Garcia Luna, 56, disabitkan pada perbicaraan yang mendapat perhatian umum di New York tahun lalu kerana menerima jutaan dolar sebagai rasuah untuk membenarkan Kartel Sinaloa menyeludup bertantan kokain.

    Hakim Daerah, Brian Cogan menjatuhkan hukuman penjara 460 bulan dan denda AS$2 juta kepada Garcia Kuna, yang berkhidmat sebagai setiausaha keselamatan awam di bawah presiden Felipe Calderon dari 2006 hingga 2012, dalam satu perbicaraan di mahkamah persekutuan di Brooklyn.

    Pendakwa raya sebelum ini telah meminta hukuman penjara seumur hidup.

    “Hukuman yang dijatuhkan ke atas Genaro Garcia Luna hari ini adalah langkah penting dalam menegakkan keadilan dan kedaulatan undang-undang,” kata Peguam AS, Breon Peace dalam satu kenyataan.

    “Pengkhianatannya terhadap kepercayaan awam dan orang yang dia bersumpah untuk melindungi telah mengakibatkan lebih satu juta kilogram narkotik berbahaya diimport ke dalam komuniti kita dan menyebabkan keganasan yang tidak terkira di sini dan di Mexico,” kata Peace.

    Perbicaraan Garcia Luna selama sebulan itu memberi tumpuan kepada rasuah dalam kalangan pegawai tertinggi kerajaan Mexico, menjadikannya pegawai kerajaan tertinggi Mexico yang pernah dihadapkan ke mahkamah di AS. Ia juga membuka pandangan mengenai sumber besar Kartel Sinaloa di bawah Joaquin ‘El Chapo’ Guzman, yang kini sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup di penjara AS.

    Pada perbicaraannya, pendakwa raya berkata Garcia Luna, yang memegang jawatan keselamatan berpangkat tinggi di Mexico dari 2001 hingga 2012, adalah ‘rakan kongsi jenayah’ kartel itu. – AFP

    Gambar Freepik

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda