BANGKOK, 20 DIS – Pemenang pilihan raya Thailand yang dilarang daripada memerintah, Pita Limjaroenrat, yakin akan mendapat keadilan selepas memberikan keterangan dalam kes mahkamah yang boleh menjejaskan kerjaya politiknya.
Mahkamah Perlembagaan kini sedang mempertimbangkan sama ada bekas pemimpin Parti Move Forward (MFP) berusia 43 tahun itu melanggar peraturan melarang ahli Parlimen memiliki saham dalam syarikat media.
Mahkamah berkata dalam satu kenyataan, ia akan memberikan keputusan dalam kes itu pada 24 Januari.
MFP memenangi kerusi terbanyak dalam pilihan raya umum Thailand pada Mei lalu tetapi Pita disekat daripada menjadi Perdana Menteri oleh pasukan konservatif yang menentang agenda reformasinya.
Menurut Pita, walaupun mahkamah memutuskan dia boleh hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen, dia tetap akan bertanding semula.
“Saya berpuas hati dengan prosedur dan memberi keterangan seperti yang dirancang.
“Saya yakin akan menerima keadilan dan berharap dapat bekerja untuk rakyat,” katanya kepada pemberita selepas memberi keterangan kepada mahkamah secara tertutup.
Ketika tiba di mahkamah pada awal pagi, Pita berkata beliau tidak mempunyai sebarang kebimbangan mengenai kes itu.
“Saya sudah lama menunggu hari ini supaya boleh beritahu orang lain bahawa saya yakin dengan kebenaran,” katanya. – AFP


