Thursday, November 21, 2024
32.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bekas ketua polis Bangladesh berdepan tuduhan jenayah kemanusiaan

    DHAKA, 20 NOV – Bekas ketua polis Bangladesh hadir di mahkamah hari ini, selepas dituduh menyelia tindakan keras besar-besaran dalam usaha yang gagal untuk menamatkan revolusi pada Ogos yang menggulingkan rejim Sheikh Hasina.

    Bekas Inspektor Jeneral Polis, Chowdhury Abdullah Al-Mamun, diiringi oleh pegawai ketika dibawa masuk ke mahkamah, di mana pendakwa mendakwa beliau bertanggungjawab terhadap pembunuhan beramai-ramai, genosid dan jenayah terhadap kemanusiaan.

    Lapan defendan hadir di mahkamah di Dhaka, termasuk Ziaul Ahsan, bekas komander tentera separa Pasukan Tindakan Pantas.

    Pendakwa utama, Mohammad Tajul Islam, dari Tribunal Jenayah Antarabangsa Bangladesh, berkata lapan lelaki itu telah melakukan jenayah ‘yang syaitan pun tidak berani lakukan.’

    Islam berkata bekas ketua polis itu adalah ‘komander bagi semua kekejaman yang dilakukan terhadap penunjuk perasaan pelajar,’ beritahunya kepada pemberita di luar mahkamah selepas perbicaraan.

    Sejak kejatuhan rejim Sheikh Hasina, puluhan sekutu beliau telah ditahan, dituduh terlibat dalam tindakan keras polis yang mengorbankan lebih 700 orang semasa kekacauan yang membawa kepada kejatuhan kerajaannya.

    Pihak pendakwaan membuktikan bahawa Ahsan terlibat dalam pembunuhan secara sewenang-wenang, pemotongan badan dan pengawasan terhadap pengkritik kerajaan.

    Mereka juga mendakwa dia bertanggungjawab dalam penutupan Internet semasa pemberontakan. – AFP

    Pegawai polis mengiringi Chowdhury Abdullah Al-Mamun (tengah), dan Ziaul Ahsan (belakang dua kanan) ke Mahkamah Tribunal Jenayah Antarabangsa Bangladesh di Dhaka kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda