Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bekas ketua polis Filipina didakwa rasuah

    MANILA, 17 JAN – Jabatan Keadilan Filipina hari ini mengatakan bekas ketua polis negara itu akan didakwa kerana melindungi anggotanya yang dikaitkan dengan jualan dadah.

    Oscar Albayalde, yang menerajui kempen perang dadah Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, meletak jawatan Oktober lalu selepas lebih setahun berkhidmat sebagai ketua polis yang giat membanteras dadah, menyebabkan ribuan suspek kes dadah maut.

    Kejatuhannya secara tiba-tiba itu mencemari kempen memerangi dadah yang disambut baik oleh rakyat Filipina tetapi menerima kritikan meluas antarabangsa yang mendakwa polis membunuh suspek dadah dengan sewenang-wenangnya.

    Jabatan Keadilan mendapati ada bukti mencukupi bagi mendakwa Albayalde kerana gagal menghukum anggota polis yang gagal mengisytiharkan 163 kilogram (kg) dadah dan 9.7 juta peso (RM776,000) hasil rampasan serbuan dadah.

    Sehubungan itu, 13 anggota polis akan didakwa atas tuduhan berkaitan dadah, rasuah dan menerima suapan dalam operasi di wilayah Pampanga, utara Manila itu. Serbuan itu berlaku pada November 2013, ketika Albayalde memegang jawatan ketua polis Pampanga.

    Albayalde berulang kali menafikan melindungi anggotanya yang mengaut keuntungan hasil daripada dadah yang dirampas, yang jika bersabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun. – AFP

    Gambar fail pada 19 April 2018 menunjukkan bekas ketua polis, Oscar Albayalde ketika menghadiri majlis serah tugas di Kem Crame, di Manila. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda