BOGOTA, 3 Nov – Angkatan Bersenjata Revolusi Colombia (FARC), kumpulan gerila terbesar di Colombia, mengumumkan bekas komandernya Rodrigo Londono akan bertanding merebut jawatan presiden pada 2018.
Pada awal September, kumpulan pemberontak secara rasminya dilucutkan dan akan menyertai politik, dengan nama baharu Angkatan Revolusi Alternatif, sebuah parti yang masih mengekalkan objektifnya memperjuangkan keadilan sosial.
Pada sidang akhbar di sini, Rabu, FARC berkata, Londono yang juga dikenali nama gerilanya “Timochenko”, akan bergerak bersama dengan Imelda Daza dari Parti Suara Keamanan (Voces de Paz).
Londono, kini sedang menerima rawatan di Cuba. Daza merupakan anggota Voces de Paz, sebuah gerakan politik yang diwujudkan susulan perjanjian damai yang ditandatangani pada 2016 antara kerajaan Colombia dengan pemberontak, yang mengambil masa lima dekad untuk pertempuran berakhir.
Berikutan aktif sebagai aktivis dan menerima ancaman bunuh, Daza terpaksa menghabiskan masa selama 26 tahun menetap di Sweden.
“Kami berdua akan berusaha ke arah Colombia yang sangat berbeza, negara yang menerima penglibatan rakyatnya seiring dengan demokrasi,” kata Daza.
FARC juga memperkenalkan calonnya untuk Senat, termasuk bekas pemimpin pemberontak Ivan Marquez dan Pablo Catatumbo, dan mengumumkan calon untuk Dewan Perwakilan. – Bernama