TOKYO, 20 OKT – Bekas Maharani Jepun, Michiko, menerima ucapan daripada saudara mara dan pegawai istana bagi sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-90 hari ini, kata pegawai.
Michiko adalah rakyat biasa pertama yang menjadi maharani dalam sejarah Jepun moden.
Michiko Shoda yang berpendidikan Katolik dan Putera Mahkota Akihito berkahwin pada 10 April 1959.
Akihito turun takhta pada 2019 ketika anak lelaki mereka, Maharaja Naruhito, telah menggantikan beliau menaiki Takhta Chrysanthemum manakala isterinya, Masako, menjadi maharani.
Sejak itu, Akihito dan Michiko sebahagian besarnya menikmati kehidupan mereka yang tenang bersama, berjalan-jalan setiap hari di dalam taman istana atau kadang-kadang melakukan perjalanan peribadi, menganjurkan perhimpunan kecil untuk kegiatan membaca buku dan muzik, menurut agensi Imperial Household.
Bekas Maharaja Akihito sangat mengambil berat tentang kesihatan fizikal Michiko, kata pegawai.
Michiko telah terjatuh awal Oktober di kediamannya semakin pulih selepas menjalani pembedahan pada tulang pahanya yang patah, dengan sesi pemulihan setiap hari selama kira-kira sejam pada satu masa, kata pegawai istana.
Tambahnya lagi, bekas maharani itu amat prihatin terhadap penduduk yang terjejas akibat gempa bumi 1 Januari lalu di wilayah utara-tengah Jepun di Noto, terutamanya mereka yang terjejas akibat hujan lebat dan banjir September lalu.
Sejak bersara, Michiko telah berkongsi minatnya terhadap sastera, termasuk buku kanak-kanak, puisi Inggeris dan muzik, dengan rakan-rakannya serta Akihito. – AFP