Sunday, July 13, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bekas menteri Indonesia dipenjara 12 tahun

    JAKARTA, 23 OGOS – Bekas Menteri Hal Ehwal Sosial Indonesia hari ini dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun kerana menerima rasuah berjumlah AS$1.2 juta berkaitan dengan bantuan makanan untuk keluarga miskin terjejas pandemik COVID-19.

    Mahkamah di Jakarta menjatuhkan hukuman penjara itu ke atas Juliari Batubara susulan penahanannya pada Disember dan siasatan menemui sejumlah wang dalam beg pakaian, beg galas dan sampul surat.

    “Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap tertuduh dan mengarahkannya untuk membayar denda 500 juta rupiah (AS$35,000) atau enam bulan lagi penjara,” kata Hakim Muhammad Damis dalam perbicaraan diadakan secara maya kerana penularan COVID-19. Bekas ahli politik itu juga perlu membayar ganti rugi setara sekitar AS$1 juta atau tambahan dua tahun penjara, kata mahkamah.

    Terdahulu, menurut mahkamah Batubara mengambil wang dari dua kontraktor yang dilantik membekalkan pakej makanan asas untuk rakyat Indonesia yang terjejas teruk dalam krisis kesihatan Indonesia.

    Dalam pada itu, Presiden Indonesia, Joko Widodo, berikrar tidak akan melindungi pegawai terbabit jenayah rasuah susulan tangkapan Batubara dan menganggap dana yang dicuri itu adalah wang rakyat. – AFP

    Bekas menteri sosial Indonesia, Juliari Batubara kelihatan di luar mahkamah di Jakarta, 23 Ogos selepas dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun kerana rasuah. –AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda