Monday, January 6, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bekas menteri Jerman tolak larangan bakar bunga api

    BERLIN, 3 JAN – Bekas Menteri Kehakiman Jerman, Marco Buschmann menyuarakan bantahannya terhadap kemungkinan larangan membakar bunga api persendirian di seluruh negara di tengah-tengah perdebatan mengenai sambutan Malam Tahun Baharu, lapor agensi berita dpa.

    Dalam kenyataan yang disiarkan pada Jumaat oleh kumpulan media RND, Buschmann yang juga setiausaha agung parti properniagaan Free Democrats (FDP), menyifatkan larangan itu sebagai ‘tidak sesuai’ dan ‘hukuman kolektif.’

    Buschmann memegang jawatan kedua tertinggi dalam FDP, selepas ketua parti Christian Lindner, bekas Menteri Kewangan.

    Perdebatan mengenai peraturan yang lebih ketat terhadap bunga api atau kemungkinan larangan di seluruh negara semakin hangat selepas Malam Tahun Baharu baru-baru ini merekodkan banyak kecederaan dan lima kematian di seluruh Jerman.

    Buschmann berpandangan walaupun ada pihak yang mungkin tidak menyukai bunga api, mereka seharusnya ‘mempunyai kebebasan untuk mengekalkan tradisi’ itu.

    Sebaliknya, pengerusi kebangsaan bagi kesatuan polis, Jochen Kopelke menyokong larangan itu, dengan menyatakan mengharamkan bunga api dan mengawal selia jualan adalah langkah yang dapat meningkatkan keselamatan pada Malam Tahun Baharu.

    Namun Buschmann menggesa tanggungjawab peribadi, sambil menegaskan yang hukuman berat, termasuk penjara selama beberapa tahun atau denda yang tinggi, sudah wujud bagi penggunaan bunga api haram.

    “Jika individu masih memilih untuk mendedahkan diri kepada bahaya bunga api itu, ia adalah kes membahayakan diri secara sukarela,” katanya. – Bernama

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda