Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bekas Menteri Kesihatan Vietnam dipenjara 18 tahun

    HANOI, 12 JAN – Bekas Menteri Kesihatan Vietnam dijatuhi hukuman penjara 18 tahun hari ini manakala puluhan pegawai kesihatan dan ahli perniagaan lain turut dijatuhkan hukuman penjara kerana peranan mereka dalam menjual alat ujian COVID yang terlalu mahal.

    Skandal Viet A, dinamakan sempena firma separa swasta yang menghasilkan kit tersebut, didakwa menyaksikan pegawai kanan membuat tawaran jutaan dolar untuk membekalkan peralatan ujian kepada hospital dan komuniti tempatan pada harga yang sangat tinggi.

    Vietnam pada mulanya kelihatan menonjol kerana tindak balasnya yang berkesan terhadap pandemik COVID, tetapi kemudian pegawai-pegawai terlibat didakwa menerima rasuah daripada syarikat yang menguruskan penerbangan penghantaran pulang dan ujian komuniti.

    Selepas perbicaraan sepuluh hari di Hanoi, mahkamah mendapati hampir kesemua 38 defendan bersalah atas rasuah, salah guna kuasa atau pertuduhan lain.

    Nguyen Thanh Long, Menteri Kesihatan dari 2020 hingga 2022, dijatuhi hukuman 18 tahun kerana menerima rasuah bernilai AS$2.25 juta.

    Awal minggu ini, dalam ucapan terakhirnya di hadapan mahkamah, Long berkata dia ‘menyesal’ atas kesalahannya.

    “Saya berharap undang-undang akan memberi kelonggaran kepada defendan yang merupakan doktor dan pekerja penjagaan kesihatan yang melakukan kesalahan dalam kes ini,” kata Long dipetik media kerajaan. – AFP

    Thanh Long (tengah) dibawa ke mahkamah oleh polis untuk perbicaraan di Hanoi pada 3 Januari. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda