BEIJING, 28 FEB – Bekas menteri luar China, Qin Gang, yang disingkirkan secara tiba-tiba daripada jawatan tahun lalu dan tidak pernah dilihat di khalayak ramai sejak itu, telah meletak jawatan sebagai ahli parlimen, menurut media kerajaan.
Peletakan jawatan Qin sebagai wakil bandar pelabuhan Tianjin ke Kongres Rakyat Kebangsaan China ke-14 telah diterima kelmarin, kata agensi berita Xinhua.
Bekas menteri luar itu disingkirkan selepas hanya 207 hari memegang jawatan pada Julai lalu tanpa penjelasan.
Dia digantikan oleh seorang diplomat veteran yang berkhidmat sebagai Menteri Luar Negeri, Wang Yi, yang mengatasinya dalam hierarki kerajaan China.
Qin kemudiannya disingkirkan daripada kabinet China, Majlis Negara, pada Oktober.
Tujuh bulan kemudian, Beijing masih tidak memberikan sebarang penjelasan mengenai pemecatan Qin, mahupun mengapa dia tidak pernah dilihat di khalayak ramai sejak itu.
Parlimen China yang tiada kuasa mutlak, Kongres Rakyat Kebangsaan, dijangka bersidang untuk sesi tahunannya minggu depan. – AFP