Sunday, February 16, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bekas menteri pertanian disyaki terlibat kes rasuah

    JAKARTA, 12 OKT – Seorang bekas menteri kerajaan Indonesia telah dinamakan sebagai suspek dalam siasatan rasuah dan dituduh menggelapkan wang rakyat lebih AS$800,000, seminggu selepas meletakkan jawatan.

    Syahrul Yasin Limpo, yang baru-baru ini mengetuai kementerian pertanian, merupakan menteri keenam yang disiasat berhubung rasuah sejak Presiden Joko Widodo memegang jawatan pada 2014.

    Rasuah masih berleluasa di negara kepulauan yang besar itu, di mana ahli politik dilihat secara meluas sebagai antara yang paling korup.

    Limpo kerap mengambil “levi haram daripada penjawat awam di kementerian pertanian untuk membayar keperluan asas dirinya dan keluarganya,” kata Johanis Tanak, timbalan ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (KPK), memberitahu sidang media lewat kelmarin.

    Ahli politik itu dituduh memaksa pegawai kementerian untuk menghantar wang kepadanya dari tabung kerajaan setiap bulan, kepada sejumlah 13.9 bilion rupiah (AS$885,000) dan menggunakan wang tunai itu untuk membayar bil kad kredit dan ansuran untuk sebuah kereta mewah.

    Dua pegawai berpangkat tinggi juga telah didedahkan dan seorang daripada mereka, setiausaha agung kementerian, Kasdi Subagyono, telah ditahan.

    Subagyono juga didakwa memanipulasi proses kenaikan pangkat di kementerian itu.

    Limpo dari Parti Demokratik Kebangsaan, meletak jawatan minggu lalu apabila KPK mengumumkan sedang meneliti kes rasuah membabitkan beliau dan kementeriannya.

    Dia boleh berdepan hukuman penjara seumur hidup jika didapati bersalah.

    Media tempatan melaporkan dia berada di kampung halamannya di Makassar, wilayah Sulawesi Selatan, ketika dia dinamakan sebagai suspek dan dia pulang ke Jakarta pada pagi ini.

    “Setakat ini, kami tidak menyoalnya (Limpo) sebagai suspek dan berhubung penahanan itu, terpulang kepada penyiasat,” kata jurucakap KPK, Ali Fikri kepada AFP. – AFP

    Gambar fail 5 Ogos menunjukkan bekas Menteri Pertanian, Syahrul Yasin Limpo (tengah) semasa menyampaikan kenyataan kepada wartawan di Jakarta, selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah memeriksa rumahnya. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda