Friday, October 4, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bekas menteri Singapura dihukum penjara 12 bulan

    SINGAPURA, 3 OKT – Bekas Menteri Pengangkutan Singapura, S. Iswaran, dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Tinggi hari ini selepas mengaku bersalah minggu lepas atas empat pertuduhan menerima barangan berharga sebagai penjawat awam dan satu pertuduhan menghalang keadilan.

    Hakim Vincent Hoong ketika menjatuhkan hukuman menyatakan bahawa beliau tidak bersetuju dengan cadangan hukuman oleh pihak pembelaan mahupun pendakwaan.

    Pendakwaan yang diketuai Timbalan Peguam Negara Tai Wei Shyong mencadangkan hukuman penjara selama enam hingga tujuh bulan, manakala pasukan pembelaan yang diketuai Peguam Kanan Davinder Singh memohon hukuman tidak lebih daripada lapan minggu.

    “Saya berpendapat bahawa adalah wajar untuk mengenakan hukuman yang melebihi cadangan kedua-dua pihak. Menerima hujahan salah satu pihak akan menghasilkan hukuman yang jelas tidak mencukupi,” katanya.

    Hakim juga membenarkan permohonan pihak pembelaan agar tertuduh menyerah diri kepada mahkamah pada 7 Oktober untuk memulakan hukuman, tertakluk kepada sebarang permohonan lanjut.

    Jaminan tertuduh dilanjutkan mengikut terma dan syarat sedia ada.

    Dalam penghakimannya, Hakim Hoong menekankan bahawa kecaman terhadap kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan adalah perlu untuk menghalang pemerolehan atau layanan mesra daripada penjawat awam melalui pemberian barangan berharga, bagi kepentingan pihak-pihak yang terlibat dengan kapasiti rasmi penjawat awam.

    Beliau berkata tertuduh menyalahgunakan kedudukannya dengan menerima hadiah daripada ahli perniagaan Ong Beng Seng walaupun mengetahui bahawa Ong terlibat dalam urusan perniagaan yang berkait rapat dengan tugas rasmi tertuduh.

    Ketika itu, tertuduh adalah Pengerusi Jawatankuasa Pemandu F1, yang bertanggungjawab menyelesaikan isu-isu dasar dan pelaksanaan di peringkat tinggi serta menyelaraskan usaha antara agensi kerajaan dengan Singapore GP Pte Ltd (SGP), manakala Ong merupakan pemilik kepentingan lebih 90 peratus saham dalam SGP. – Bernama

    S. Iswaran tiba untuk dijatuhkan hukuman di Mahkamah Agung di Singapura pada 3 Oktober. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda