WASHINGTON, 2 SEPT – Sembilan bekas ketua badan kesihatan tertinggi Amerika Syarikat (AS) memberi amaran kelmarin mengenai rombakan besar-besaran agensi tersebut oleh pentadbiran Trump dan menegaskan penentang vaksin, Robert F. Kennedy Jr. ‘menjejaskan kesihatan setiap rakyat Amerika’.
Sebuah artikel yang telah dikeluarkan dalam The New York Times turut memberi kritikan terhadap Setiausaha Kesihatan AS selepas Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) baru-baru ini dipecat oleh Presiden Donald Trump hanya beberapa minggu selepas dilantik.
Susan Monarez dipecat minggu lalu selepas bertelagah dengan RFK Jr. dan dilaporkan enggan menyokong perubahan dasar vaksinasinya.
Pemecatan itu mencetuskan peletakan jawatan sekurang-kurangnya empat pegawai kanan lain dan menjerumuskan agensi itu dalam krisis.
“Kami pernah menerajui CDC, Kennedy sedang membahayakan kesihatan setiap rakyat Amerika,” menurut rencana pendapat yang ditulis oleh sembilan bekas ketua agensi berkenaan yang berkhidmat di bawah setiap presiden, sama ada Demokrat atau Republikan, daripada Jimmy Carter hingga Donald Trump.
Mereka turut menyebut bagaimana Kennedy telah memecat ribuan pekerja kesihatan persekutuan; melemahkan program yang bertujuan melindungi rakyat AS daripada kanser, serangan jantung; serta ketika negara itu berdepan dengan wabak campak terbesar dalam beberapa dekad dan beliau hanya menumpukan pada ‘rawatan tidak terbukti sambil memperlekehkan vaksin’.
Kennedy juga memperjuangkan undang-undang persekutuan yang dijangka menyebabkan berjuta-juta rakyat kehilangan insurans kesihatan, kata mereka. – AFP


