Tuesday, October 29, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bekas pegawai imigresen kanan dipenjara 3 tahun

    Oleh Fadley Faisal – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Majistret Kanan Azrimah Abdul Rahman menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun ke atas Seruji bin Haji Setia, bekas pegawai imigresen kanan atas lima pertuduhan rasuah, kelmarin.

    Siasatan yang dijalankan oleh Biro Mencegah Rasuah mendapati defendan telah menerima beberapa barangan bernilai dan wang tunai daripada rakan kongsi perniagaan termasuk pengarah urusan Daiecharm Decor Sdn Bhd dan pengurus BT Employment Agency. Antara barang yang diterimanya ialah karpet, sarung kusyen sofa, sarung tempat duduk kereta dan wang tunai $100.

    Timbalan Pendakwa Raya Hajah Rozaimah binti Haji Abdul Rahman, Ahmad Firdaus bin Mohammad dan Radin Wafri Radin Sufri mewakili pihak pendakwaan, manakala defendan diwakili Ahmad Basuni Abas dari Abraham, Davidson & Co.

    Majistret Azrimah menekankan pelanggaran amanah yang serius, menyatakan bahawa rasuah oleh penjawat awam merosakkan integriti pentadbiran dan keyakinan masyarakat.

    Kedudukan defendan sebagai Ketua Bahagian Pas Kerja menjadikan kesalahan itu lebih berat dan mahkamah memandangnya sebagai salah guna kuasa yang ketara melalui layanan istimewa kepada pihak tertentu.

    Hukuman penjara tersebut bermula pada tarikh reman tertuduh, iaitu 12 Oktober lalu di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman denda atau penjara sehingga tujuh tahun bagi penjawat awam yang menerima hadiah daripada individu yang berkaitan dengan tugas rasmi mereka tanpa balasan yang mencukupi.

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda